Ekonomi digital Malaysia cecah AS$31 bilion pada 2024 - Laporan
EKONOMI digital Malaysia dijangka mencecah AS$31 bilion (RM138.4 bilion) dari segi nilai barangan kasar (GMV) pada 2024, meningkat 16 peratus daripada angka pada 2023.
Menurut laporan 'e-Conomy Southeast Asia (SEA) 2024' terkini oleh Google, Temasek dan Bain & Company, ekonomi digital negara ini telah berkembang ke arah keberuntungan di samping mengekalkan pertumbuhan dua angka bagi GMV.
Pengarah Negara bagi Google Malaysia, Farhan Qureshi berkata, ekonomi digital Malaysia mencatatkan pertumbuhan konsisten, dan tahun ini merupakan satu lagi bukti kukuh potensi ekonomi digital Malaysia.
"Berasaskan tumpuan negara ini terhadap kecerdasan buatan (AI) jadi, amat menggalakkan apabila melihat pemimpin meletakkan AI dan semikonduktor dalam senarai keutamaan negara,” katanya semasa taklimat media sempena penerbitan laporan itu di sini. Selasa.
Menurut laporan itu, penyertaan digital yang lebih tinggi daripada kalangan pengguna, keberkesanan strategi pengewangan dan pemulihan sektor yang terjejas ekoran pandemik dijangka memacu pertumbuhan berterusan.
E-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital memandangkan GMV sektor itu meningkat 17 peratus kepada AS$16 bilion (RM71.44 bilion) tahun ini apabila platform e-dagang utama melabur semula untuk pertumbuhan GMV serta peningkatan perdagangan video, jelas laporan itu.
Perjalanan menerusi pembelian dalam talian mencatatkan pertumbuhan GMV terpantas berbanding sektor lain iaitu 19 peratus tahun ke tahun untuk mencecah GMV AS$8 bilion (RM35.71 bilion) pada 2024.
Angka itu dicatatkan apabila sektor pelancongan antarabangsa Malaysia mengalami pemulihan yang kukuh manakala prestasi pada 2024 dijangka melebihi tahap sebelum pandemik, tambah laporan itu.
Menurut laporan tersebut perbelanjaan untuk perjalanan ke luar negara telah melonjak 330 peratus sejak 2020 apabila rakyat Malaysia memanfaatkan peluang melancong ke luar negara, walaupun di rantau Asia Pasifik terutamanya, yang menyumbang 38 peratus kepada perbelanjaan ke luar negara.
Sementara itu, penghantaran makanan dan pengangkutan telah meningkat 10 peratus daripada AS$3 bilion (RM13.39 bilion) GMV pada 2023 kepada AS$4 bilion (RM17.86 bilion) pada 2024, dipacu oleh pemulihan permintaan pengguna dan perjalanan antarabangsa.
Farhan berkata Malaysia adalah antara 10 negara global teratas yang memacu minat carian AI, terutamanya dalam sektor pendidikan, pemasaran dan permainan video, dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menerajui minat AI di negara ini.
Memandangkan lebih banyak syarikat menggunakan AI untuk menginovasi, meningkatkan kecekapan dan pengalaman pelanggan serta membawa idea baharu dalam kehidupan maka permintaan untuk infrastruktur AI akan terus berkembang.
Bagi memenuhi permintaan ini, Malaysia telah merekodkan pelaburan infrastruktur AI yang besar dalam kalangan negara Asia Tenggara iaitu AS$15 bilion (RM66.97 bilion) pada suku pertama 2024.
Laporan itu menjangkakan kapasiti pusat data semasa Malaysia pada 120 megawatt dan dijangka meningkat lima kali pada tahun-tahun akan datang.
"Apabila melihat Malaysia, perkara penting yang patut kita raikan apabila bercakap mengenai AI sebagai satu perjalanan adalah kira-kira 50 peratus daripada pelaburan di Asia Tenggara benar-benar berlaku di Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!