Lelaki Islam wajib tinggal, tutup perniagaan semasa solat Jumaat - Exco
ISKANDAR PUTERI – Pelanggan dan peniaga lelaki yang mengendalikan premis perniagaan diwajibkan meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara semasa solat Jumaat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia bagi membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.
“Mereka yang kena tinggalkan jual beli ini adalah orang lelaki, orang Islam, maka orang inilah jangan berniaga dan jangan bekerja (semasa solat Jumaat).
“Jadi peniaga Islam yang lain boleh berniaga tetapi yang lelaki kenapa pergi makan semasa solat Jumaat. Lelaki Islam kenapa berniaga semasa orang sembahyang Jumaat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Selasa.
Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Januari depan.
Tambah beliau lagi, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melakukan penguatkuasaan bagi memastikan semua lelaki Islam di Johor menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata, pekerja beragama Islam yang berdepan isu diskriminasi untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat bermula 1 Januari tahun depan diminta membuat aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.
Justeru katanya, majikan yang ingkar dengan tidak memberi waktu rehat mencukupi pada setiap Jumaat boleh dikenakan tindakan.
"Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu bekerja mereka disusahkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan Johor 2025 Khamis lalu, kerajaan negeri menetapkan waktu rehat bagi sektor swasta pada hari Jumaat dilanjutkan kepada dua jam berbanding daripada 1 jam 30 minit sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketetapan itu dibuat bagi membolehkan umat Islam yang bekerja di sektor swasta di negeri ini dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!