Bomba terbangkan dron pantau banjir Terengganu
MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menerbangkan dron bagi membantu tugas pemantauan banjir di Terengganu pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata, dua dron ditempatkan di pangkalan operasi hadapan JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini.
Beliau berkata, teknologi berkenaan dapat digunakan secara efisien untuk memantau perkembangan banjir dari udara terutama di kawasan pedalaman dan lokasi berhampiran sungai dengan keluasan jarak sekitar 16 kilometer.
"Di JBPM negeri, kita akan hantar dua dron manakala kerajaan negeri (Terengganu) juga ada dua dron.
"Setiap unit akan dikendalikan oleh dua petugas JBPM yang bertauliah dan mempunyai kepakaran," katanya selepas melakukan pemantauan udara menggunakan helikopter AW189 di kawasan terjejas banjir hari ini.
Norazam berkata, JBPM juga akan menambah kemudahan helikopter di pangkalan tersebut sekiranya terdapat keperluan untuk tugas menyelamat, menghantar bantuan makanan dan keperluan serta khidmat perubatan di tiga negeri Pantai Timur.
Selain itu, 58 anggota Pasukan Gerak Cepat MTL (Red Team MTL) telah bersiap sedia sepenuhnya untuk digerakkan jika berlaku bencana pada bila-bila masa.
"Penambahan helikopter bergantung pada tahap bencana di kawasan Pantai Timur. Penggiliran penugasan akan dibuat berdasarkan keperluan di negeri masing-masing," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!