Trend mati lemas membimbangkan - Bomba
MELAKA - Trend kematian akibat lemas saban tahun tidak menunjukkan penurunan sekali gus membimbangkan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, ini kerana berdasarkan statistik kes kematian akibat lemas di air secara purata direkodkan sebanyak 320 kes setiap tahun.
Malah menurutnya, sejak 1 Januari lalu hingga bulan ini, sebanyak 265 kes kematian telah direkodkan di seluruh negara dan meminta kerjasama semua pihak terutama pengusaha pelancongan memberi peringatan kepada pelanggan mengenai kebarangkalian bahaya yang akan berlaku.
"Contohnya kalau musim tengkujuh air pernah naik paras sampai mana di kawasan itu.
"Jadi dia (pengusaha) beri peringatan elakkan kalau hujan jangan main sampai ke kawasan ini (banjir)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri 2024, di Bukit Katil, Melaka, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menerima kelulusan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menjadi Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) dalam kebombaan.
Menurutnya, pelantikan julung kali itu selari strategi digariskan dalam Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2021-2023, iaitu untuk mewujudkan entiti mengetuai industri kebombaan.
Ujarnya, jabatan itu telah membuat permohonan sejak 3 tahun lalu untuk menjadi peneraju ILB di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan menerusi lantikan Menteri Sumber Manusia.
"Hari ini kita dapat watikah pelantikan secara rasmi menjadi ILB yang ke-28 di Malaysia berkaitan industri kebombaan berkuat kuasa Julai lalu hingga Disember 2027.
"Menerusinya kita akan laksanakan enam kriteria utama yang digariskan oleh pihak KESUMA dan menterinya," katanya lagi.
Dalam pada itu, JBPM turut memberi tumpuan di kawasan Pantai Barat selain Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor ketika musim Monsun Timur Laut itu.
Selain kemungkinan akan berlaku kejadian banjir kilat di negeri Pantai Barat terutama di Lembah Kelang dan Melaka ketika hujan lebat dan air laut pasang besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!