Veteran UMNO gesa PM tukar King Sing dengan pemimpin berwibawa

Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk menggantikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa susulan kontroversi papan tanda dwibahasa.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu demi menjaga nama baik dan imej Malaysia.

Malah beliau menegaskan, amat memalukan negara apabila seorang menteri yang sepatutnya menjual produk Malaysia untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, sebaliknya membuat kenyataan seolah-olah negara ini tidak aman dan selamat.

"Tiong (King Sing) sengaja menimbulkan isu bahasa ini kerana beliau anti bahasa Melayu.

"King Sing juga anti negaranya sendiri, Malaysia. Tidak patriotik dan nasionalis. Dia lebih Cina dari Cina tanah besar (China). Sikap rasisnya jelas sehingga terbawa-bawa kepada penduduk negara asing," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini King Sing dilapor menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrim agama susulan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.

Serbuan tersebut merupakan operasi berskala besar terhadap premis-premis yang tidak memasang papan tanda bahasa kebangsaan.

Dalam pada itu Mustapha menegaskan, tiada sebab King Sing untuk meminta maaf kepada pelancong China kerana layanan tidak istimewa oleh kerajaan Malaysia terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berpendapat, dakwaan King Sing kononnya ditanya oleh pelancong China apakah Malaysia sebuah negara perkauman adalah satu pembohongan dan wayang.

"Mana ada satu negara di dunia ini yang memberi layanan istimewa kepada pelancong yang melancong ke negara mereka sehingga terpaksa menukar papan iklan kepada bahasa pelancong.

"Orang Melayu yang melawat China bukan sedikit, tetapi papan iklan di pusat beli belah di Beijing, Shanghai dan lain-lain tetap dalam bahasa Mandarin. Kalau ada terjemahan pun dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!