Dua pemandu maut nahas tiga kenderaan di Pekan
PEKAN - Dua pemandu maut selepas kenderaan dipandu mereka terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 3, Jalan Pekan-Kuantan di sini pada Selasa.
Dalam nahas kira-kira jam 11.05 pagi itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, Azuwan Zainal Abidin, 34, beralamat di Sepekan Jaya di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pekan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, seorang lagi mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah, 71, dari Taman Sri Maulana juga dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama.
Menurutnya, lelaki berusia 26 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Mitsubishi Triton dipandu peniaga itu dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Kuantan manakala dua lagi kenderaan terlibat dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta Proton Saga dipandu warga emas," katanya.
Mohd Zaidi berkata, sebuah lagi kenderaan yang terlibat tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang kereta Proton Saga.
"Akibat dari kemalangan tersebut, dua mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pekan
"Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!