Lawatan rasmi PM: Penglibatan swasta, GLC untuk kembangkan pelaburan sedia ada

Ahmad Farhan (tengah) bersama rakan-rakan delegasi sebelum Sidang Kemuncak APEC 2024. Foto FB Farhan Fauzi
Ahmad Farhan (tengah) bersama rakan-rakan delegasi sebelum Sidang Kemuncak APEC 2024. Foto FB Farhan Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara merupakan inisiatif untuk mengembangkan pelaburan sedia ada di negara terlibat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, ia selari dengan usaha kerajaan mempromosikan kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat global.

Menurutnya, semua kos lawatan itu juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak mereka sendiri, malah tiada sumbangan kewangan diberikan kepada kerajaan atau Perdana Menteri.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi isu yang sering disalahertikan berkait kos lawatan rasmi Anwar ke luar negara perlu difahami. Ini bukan isu rasuah, hadiah dan juga satu bentuk ketidaktelusan seperti dakwaan pihak tidak bertanggungjawab.

"Malah, lawatan ini menjadi platform strategik untuk menjalin hubungan erat antara pelabur tempatan dan antarabangsa," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Semalam, Anwar menegaskan pihaknya tidak sama sekali menggunakan dana syarikat swasta untuk membiayai kos penerbangan lawatan rasmi ke empat negara, sebaliknya ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dengan kos RM1.6 juta.

Anwar menjelaskan baki tempat duduk dalam pesawat khas Malaysia Airlines tersebut ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya mempunyai tujuan ke negara-negara berkenaan bagi urusan pelaburan atau usaha sama dan syarikat-syarikat tersebut membayar kos masing-masing yang berjumlah RM4.5 juta.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, Anwar tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam mana-mana syarikat swasta atau GLC yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Seperti kata Sayidina Umar al-Khattab, 'Sesungguhnya aku hanyalah seorang penjaga harta rakyat. Aku tidak akan mengambil sesuatu darinya kecuali dengan cara yang adil dan tidak akan membelanjakannya kecuali dengan cara yang benar.'

"Prinsip berkenaan jelas dalam kepimpinan beliau (Anwar) yang sentiasa mengutamakan integriti dan amanah," ujarnya.

Tambah beliau, dalam kitab suci al-Quran iaitu menerusi surah al-Hujurat ayat 12 juga sudah dijelaskan supaya perbuatan fitnah dengan sengaja menyalaherti perbuatan orang lain perlu dielakkan.

Ahmad Farhan berkata, tindakan menyalahertikan sokongan kepada lawatan rasmi negara sebagai rasuah adalah fitnah besar yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Menurutnya, lawatan berkenaan membawa manfaat besar kepada negara dan kos dibiayai oleh GLC dan syarikat swasta yang menyertai lawatan adalah untuk memastikan objektif strategik tercapai seperti menarik pelaburan, meneroka pasaran baharu dan memperkukuh perdagangan.

Tambah beliau, sebelum ini Anwar berulang kali menegaskan komitmennya untuk mentadbir dengan integriti dan hikmah bagi menjamin kepimpinan Madani yang bersih.

"Setiap langkah beliau diambil dengan penuh pertimbangan, bukan untuk manfaat peribadi tetapi demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Seperti yang pernah dikatakan Nelson Mandela iaitu 'Honesty and transparency make you vulnerable. Be honest and transparent anyway'.

"Tuduhan ini hanya usaha memburukkan imej pemimpin, tetapi kebenaran akan terus tertegak. Akhirnya, lawatan rasmi ke luar negara bukanlah soal individu, tetapi soal negara.

"Setiap langkah ini membawa pulangan besar untuk Malaysia. Semoga rakyat Malaysia dapat menilai dengan hati yang terbuka, demi masa depan negara yang lebih cemerlang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!