DUN Kelantan lulus RUU Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2024

Hilmi
Hilmi
A
A
A

KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi kawalan dan pelesenan.

RUU itu diluluskan di hadapan Timbalan Speaker DUN, Datuk Mohamed Fared Mohamed Zawawi selepas dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam negeri Sekitar, Hilmi Abdullah pada kali ketiga.

Hilmi ketika membentangkan RUU itu memberitahu, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 digubal dan diluluskan pada 8 November 1998 bagi menggantikan Ordinan Panggung Wayang dan Tempat-Tempat Hiburan 1955.

"Enakmen berkenaan berkuat kuasa pada 15 Jun 1999 melalui suatu pemberitahuan yang disiarkan dalam warta pada 10 Jun 1999," katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau sejak pemakaian dan penguatkuasaan enakmen ini, tiada sebarang pindaan atau penambahbaikan sehingga kini.

"Memandangkan sudah 26 tahun berlalu dengan tiada sebarang pindaan seiring perubahan semasa, terdapat banyak kelompongan yang menimbulkan kesulitan dalam pelaksanaannya," katanya.

Hilmi memaklumkan, penting bagi kerajaan negeri menggubal dan menguatkuasakan satu undang-undang negeri yang berteraskan syariat Islam khusus bagi mengawal pelesenan hiburan dan tempat-tempat hiburan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

"Enakmen baharu itu mengambil kira perubahan masa, memastikan tiada kelompangan undang-undang dan menjamin pelaksanaan yang efektif.

Artikel Berkaitan:

"Tidak dapat kita dinafikan hiburan merupakan perkara yang disenangi oleh naluri fitrah manusia memandangkan ia adalah jalinan antara keindahan bahasa, keunikan budaya dan kecantikan seni yang mampu melahirkan emosi positif di dalam diri kita," katanya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Selasa.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri bertanggungjawab melestarikan warisan seni dan budaya masyarakat tempatan.

"Kita turut mengambil kira kelangsungan hidup penggiat industri seni tempatan dengan memastikan aktiviti hiburan berlandaskan Islam boleh dilaksanakan di Kelantan," katanya.

Jelas beliau, ketika berhibur juga, nilai-nilai Islam dalam hiburan tidak ditinggalkan sejajar dengan dasar kerajaan negeri iaitu membangun bersama Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!