'Datuk Vida tak ada, belum balik'
"DATUK tak ada di sini, belum pulang lagi." Itu penjelasan ringkas diberikan kakitangan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Vida selepas kediamannya di Persiaran Bukit Meru di sini menjadi tumpuan berikutan isu sitaan barang melibatkan hutang lebih RM1 juta.
Dalam tinjauan Sinar Harian pada Selasa, pekerja itu berkata, belum ada sebarang makluman baharu diberikan dan hanya menunggu arahan daripada Datuk Vida.
"Kami pun tidak tahu banyak mengenai perkara ini. Apa-apa kena tunggu Datuk balik dahulu," katanya.
Kakitangan yang sudah bertugas selama 12 tahun di bahagian keselamatan itu juga memaklumkan, buat masa ini tiada sekatan atau halangan untuk mereka meneruskan aktiviti dan rutin harian.
"Semua ok, kami buat kerja macam biasa. Boleh keluar masuk rumah seperti biasa," katanya.
Media pada Isnin melaporkan, empat kenderaan mewah iaitu dua Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan sebuah BMW X7 bersama barangan dalam rumah milik Datuk Vida disita selepas usahawan itu gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 sejak 2018.
Proses sitaan berlangsung selama lima jam, bagaimanapun Datuk Vida dilapor berada di China semasa sitaan dilakukan.
Kesemua barangan yang disita itu dilapor tidak dibenarkan dibawa keluar dan sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, satu acara lelongan akan diadakan pada 9 Disember depan.
Datuk Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, 53, menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan bahawa beliau sudah melantik peguam bagi mendapatkan nasihat dan membantunya menyelesaikan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!