Lebih 100 hektar padi sedia dituai tenggelam banjir, kerugian hampir RM1 juta
PASIR MAS - Seramai 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang di sini mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas sawah seluas 121 hektar ditenggelami banjir sekitar 0.5 hingga 0.7 meter sejak lima hari lepas susulan Monsun Timur Laut.
Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Luar dan Kampung Tersang, Azli Jaafar berkata, padi yang sudah matang dan sepatutnya dalam fasa penuaian berkenaan mencukupi tempoh 126 hari selepas ia disemai pada awal Ogos lepas.
Beliau berkata, padi akan berbau masam kerana diselaputi lumpur dan menyebabkan ia rebah serta tidak dapat dituai jika ditenggelami air melebihi tiga hingga empat hari secara berterusan.
"Di bawah kawasan selian saya, terdapat 39 pesawah iaitu 31 orang dari Kampung Luar, manakala lapan lagi dari Kampung Tersang. Rata-rata mereka mengusahakan sawah sekitar 12 hingga 20 hektar setiap seorang.
"Masalah ini berlaku kerana kami lewat memulakan proses menyemai susulan banjir fasa satu awal tahun ini yang surut sekitar Februari, sekali gus memaksa kami memulakan proses itu pada Mac berbanding kebiasaannya awal Januari,” katanya kepada pemberita di Kampung Luar, Gual Periok, Rantau Panjang di sini pada Selasa.
Azli yang telah berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 20 tahun lepas berkata, kejadian itu adalah yang kedua susulan pembinaan Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok.
Beliau berkata, sejak benteng itu dibina paras air meningkat secara mendadak setiap kali berlaku hujan yang berterusan, dan mengambil masa lama untuk air berkenaan surut sekali gus menyebabkan kerugian kepada pesawah.
"Saya berharap perkara ini mendapat perhatian kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban pesawah seperti kami termasuk bantuan kewangan bagi menampung proses menanam semula musim hadapan, sebaik musim tengkujuh berakhir,” katanya yang mengusahakan 40 hektar sawah.
Sementara itu, seorang pesawah, Che Jailani Che Harun, 53, dari Kampung Luar berkata, beliau mengalami kerugian hampir RM30,000 selepas sawah yang diusahakan di atas tanah seluas kira-kira empat hektar rosak dan tidak dapat dituai.
"Kerugian itu melibatkan kos membajak iaitu sekitar RM380, kos sewaan tanah bagi semusim bernilai RM180 hingga RM200 bergantung kawasan serta RM58 untuk satu bag benih padi. Kami sebagai pesawah tiada pilihan lain selain mengusahakan tanaman padi.
"Oleh itu, kami berharap nasib kami mendapat perhatian pihak berkenaan. Malah hujan berterusan ini juga dijangka berlaku beberapa episod, sekali gus menghalang kami untuk memulakan tanaman semula dalam tempoh terdekat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!