China pilih Malaysia sambut Tahun Baru Cina tahun depan - King Sing

King Sing (kiri) mengadakan pertemuan dengan Yeli (kanan) ketika penganjuran China International Travel Mart di Shanghai. FOTO: Facebook Tiong King Sing
King Sing (kiri) mengadakan pertemuan dengan Yeli (kanan) ketika penganjuran China International Travel Mart di Shanghai. FOTO: Facebook Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - China memilih Malaysia sebagai tuan rumah dalam acara sambutan Tahun Baru Cina yang pertama kali diadakan di luar dari negara Tembok Besar itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, hal berkenaan dimaklumkan menerusi pertemuan bersama Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli ketika penganjuran China International Travel Mart di Shanghai.

“Beliau juga mengumumkan bahawa acara Selamat Tahun Baru Cina yang terkenal, penuh dengan tradisi Cina akan diadakan di luar negara buat kali pertama pada 23 Januari, bertepatan dengan ‘Tahun Baru Kecil’.

“Malaysia telah dipilih sebagai negara tuan rumah dan persiapan sedang giat dijalankan.

“Pihak China pula telah mula memuktamadkan senarai penghibur yang akan mengambil bahagian dan menggesa Malaysia untuk memberikan sokongan dan memaksimumkan kempen promosi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada masa sama, King Sing memberitahu bahawa Yeli menyifatkan bahawa kedua-dua negara ini mempunyai pertalian budaya yang mendalam dan ia bakal menyerlahkan usaha aktif China mengindustrikan sektor kebudayaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kedua-dua negara meneroka pembangunan bersama dalam bidang tersebut.

"Melangkah ke hadapan, kita boleh meneroka kerjasama yang lebih mendalam termasuk platform pertukaran budaya untuk pelajar dan mengalu-alukan pelaburan China dengan tujuan meningkatkan tarikan destinasi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Dengan mengambil inspirasi daripada kemajuan budaya China, Malaysia berhasrat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang,” ujarnya.

Mengulas mengenai kejayaan inskripsi bersama “Majlis Wangkang” dalam senarai warisan ICH UNESCO pada 2020, King Sing berkata, Malaysia dan China akan bekerjasama sekali lagi pada tahun ini.

Jelas beliau, ia bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dengan mencalonkan tarian singa untuk pengiktirafan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menerusi hantaran sama, King Sing turut memaklumkan bahawa beliau juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Yu In Chon.

Katanya, Korea Selatan dan Malaysia akan menjadi tuan rumah bersama Festival Muzik ASEAN-Korea (Festival ROUND 2025).

“Sementara itu, Korea Selatan pula akan menubuhkan pusat kebudayaan di Kuala Lumpur tahun depan untuk menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan, seterusnya mempromosikan pertukaran budaya.

“Dalam perbincangan ini, saya telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih proaktif dan mewujudkan platform kerjasama untuk memupuk pertukaran budaya serta kesenian lebih mendalam dengan China dan Korea Selatan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!