Cik B minta semua bertenang
PENYANYI dan pempengaruh, Cik B meminta semua pihak bertenang dan sabar menunggu perkembangan kes sitaan melibatkan aset mewah milik ibunya, Datuk Vida.
Menerusi hantaran di Instagram pada Selasa, Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamileen Mohd Amin, 19, juga menggesa orang ramai agar tidak terlalu bimbang dengan keadaan tersebut.
Beliau yang kini berada di Barcelona, Sepanyol untuk menyambung pelajaran percaya kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik.
"Guys sabar la pasal yang kena sita tu..Insya-ALLAH semua akan okey," tulisnya ringkas di hantaran berlatar belakangkan gambar makanan.
Media pada Isnin melaporkan, empat kenderaan mewah iaitu dua Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan sebuah BMW X7 bersama barangan dalam rumah milik Datuk Vida disita selepas beliau gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan sebanyak RM1,060,285 sejak 2018.
Sementara itu, Vida menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan bahawa beliau sudah melantik peguam bagi mendapatkan nasihat dan membantunya menyelesaikan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!