'Adik belum sedar, tak tahu tiga ahli keluarga meninggal dunia'

Nur Azwa Shamimi (dua dari kanan) merakam gambar kenangan disamping ibunya, Maimunah (dua dari kiri), bapanya, Kamarudin (kanan) dan kakaknya, Nur Ardiena (kiri) ketika majlis konvokesyen yang berlangsung di Putrajaya Ahad lalu.
Nur Azwa Shamimi (dua dari kanan) merakam gambar kenangan disamping ibunya, Maimunah (dua dari kiri), bapanya, Kamarudin (kanan) dan kakaknya, Nur Ardiena (kiri) ketika majlis konvokesyen yang berlangsung di Putrajaya Ahad lalu.
A
A
A

SETIU - Mangsa cedera parah dalam kemalangan dekat Kampung Lerek, di sini awal pagi Isnin masih belum mengetahui tiga ahli keluarganya telah meninggal dunia.

Abang mangsa, Ahmad Kamarul Syafieq Kamarudin, 28, berkata, adik bongsunya, Nur Azwa Shamimi, 21, telah menjalani pembedahan akibat pendarahan di kepala malam tadi dan masih tidak sedarkan diri.

Menurutnya, mereka empat beradik sepakat untuk merahsiakan dahulu tragedi malang yang mengorbankan nyawa kedua-dua ibu bapa, Maimunah Mat Isa, 54, Kamarudin Ibrahim, 55 dan kakak mereka Nur Ardiena, 30.

"Adik saya masih belum sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu. Dia masih belum tahu umi, ayah dan kakak telah meninggal dunia.

"Saya dan adik-beradik yang lain tak mahu beri tekanan kepada dia dan akan tunggu dia pulih dahulu untuk menceritakan keadaan sebenar," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Nur Azwa Shamimi merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat selepas Perodua Axia dinaiki bersama ibu, bapa dan kakaknya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (km) 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu - Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Lerek di sini sekitar jam 4.50 pagi.

Ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan selepas menghadiri majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, dua mangsa kemalangan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, nahas berlaku selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipercayai hilang kawalan sebaik melalui kawasan terbabit.

Nur Azwa Shamimi yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan tangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!