Tahun Melawat Kedah 2025: Promosi Tapak Arkeologi Sungai Batu guna AI, 3D
ALOR SETAR - Tapak Arkeologi Sungai Batu tidak dipinggirkan dalam promosi Tahun Melawat Kedah (TMK 2025).
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mengangkat tapak berkenaan sebagai produk pelancongan sejarah namun ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Warisan Negara.
Menurutnya, antara usaha dilakukan ialah melancarkan 'travelodge' dan mendokumentasikan peradaban Sungai Batu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tiga dimensi (3D).
“Kita sedang menyiapkan satu dokumentari mempromosi tempat-tempat menarik termasuk Sungai Batu melalui 'travelodge' eksplorasi seni, budaya dan warisan Kedah.
“Kerajaan negeri juga sedang memperhalusi untuk mendokumentasikan sejarah dan peradaban Sungai Batu melalui teknologi AI dan 3D,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) berkaitan usaha mempromosikan Tapak Arkeologi Sungai Batu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman pada Selasa.
Mohd Salleh berkata, semua khazanah sejarah dan seni budaya lain juga akan diberikan perhatian termasuk peninggalan kapal purba atau tongkang yang tertanam dalam bumi Kedah.
“Tugas ini tidak semudah itu, sebab melibatkan pelbagai pihak seperti Muzium Negara, Arkib Negara, Perpustakaan Awam termasuk kerajaan negeri dan Jabatan Warisan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kedah Tourism sedang memuktamadkan puluhan acara TMK 2025 selain memastikan produk pelancongan negeri sudah bersedia menerima pelawat pada tahun depan.
“Kita sedang bangunkan produk baharu di setiap daerah termasuk Kuala Muda. Antaranya, menaiktaraf kemudahan pelancongan Pantai Merdeka, iaitu pembangunan pensejarahan dan pelantar ‘Boardwalk’ Bukit Penjara, serta menaiktaraf Chalet Pantai Medeka bernilai RM 2.5 juta.
“Galeri Tsunami di Kuala Muda turut dinaik taraf dengan kos RM 50,000. Selain menantikan penyaluran peruntukan RM 1.4 juta dari Kementerian Pelancongan (MOTAC) untuk projek peningkatan lain secara keseluruhan di daerah tersebut antaranya menaiktaraf tapak berkumpul pelancong di Tapak Tamadun Sungai Batu dengan kos RM 500,000,” ujarnya.
Mohd Salleh berkata, MOTAC turut mengadakan lawatan kerja ke Jeti Semeling, Tanjung Dawai, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Pantai Merdeka dan Galeri Tsunami sebagai persediaan TMK 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Beberapa agensi kerajaan telah menganjurkan beberapa program sebagai persediaan mempromosikan TMK 2025 antaranya, Kedah Tua Travel Mart, program Citranusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan perasmian pameran Arkeologi Lembah Bujang serta program Travel Mart peringkat daerah dikenali sebagai ‘Kenali Daerah Kuala Muda’ Bersama Tourism Malaysia.
“Beberapa program berimpak tinggi turut dirancang seperti Festival Kedah Tua di Tapak Tamadun Sungai Batu pada awal Februari 2025, Karnival Jerai Geopark @ Jeti Semeling pada Mac 2025, International Jerai Run 2025 pada April serta Jerai Geopark Challenge pada Mei tahun depan,” katanya.
Menurutnya lagi, antara acara lain termasuk Pesta Sungai Merbok, Pesta Tanjung Dawai dan Himpunan Permotoran Terbesar Malaysia Pantai Merdeka pada Oktober 2025.
“Program Pengalaman Homestay Malaysia Negeri Kedah juga dirancang untuk diadakan selain program warisan dan budaya seni tengkolok dan batik @Homestay Sungai Badak pada Mei tahun depan bagi menyemarakkan lagi pelancongan kebudayaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!