Tiada agenda laporan lembaga disiplin dalam mesyuarat MPP PKR lalu
SHAH ALAM - Tiada sebarang agenda pembentangan laporan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditetapkan dalam perjalanan mesyuarat Majlis Pimpinan Parti (MPP) yang lepas, kata Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh.
Agenda pembentangan laporan Lembaga Disiplin PKR itu dipercayai turut merujuk keputusan nasib Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang dihadapkan pada Khamis lalu atas dakwaan mengkritik kerajaan.
Pada masa sama, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menafikan parti itu membatalkan satu mesyuarat MPP pada Ahad lalu di saat akhir sebagaimana dilaporkan sebelum ini.
Sebaliknya beliau menegaskan mesyuarat pucuk kepimpinan tertinggi PKR itu diadakan lebih awal secara dalam talian pada 14 November lalu sewaktu Perdana Menteri dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Peru atas urusan kerja.
"Ia (mesyuarat MPP) tidak dibatalkan pada saat akhir. (Sebaliknya) mesyuarat diawalkan dan diadakan secara online (dalam talian) sewaktu Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Peru.
"Jadi tidak perlu untuk satu lagi mesyuarat MPP diadakan hujung minggu lepas.
"Selain itu, tiada sebarang agenda laporan lembaga disiplin dibentangkan dalam mesyuarat MPP tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ditanya mengenai bila keputusan nasib Hassan bakal diketahui umum, Fuziah hanya menjelaskan proses perjalanan tatacara Lembaga Disiplin PKR adalah urusan dalaman parti.
"Perjalanan tatacara lembaga disiplin is internal party matters (adalah urusan dalaman parti)," ulas Fuziah secara ringkas.
Sebelum ini, Hassan menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan yang akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin PKR pada Ahad susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.
Beliau terbuka dan bersedia menerima sebarang keputusan yang akan diputuskan termasuk jika digantung atau dipecat keahlian parti.
"Saya dipanggil dalam sesi pendengaran atau perbicaraan dengan lembaga disiplin parti Khamis lalu namun belum ada keputusan.
"Mereka hanya memberikan pandangan lembaga disiplin parti dan selepas ini mereka akan rujuk kepada Biro Politik PKR dan selepas itu kepada Majlis Pimpinan PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jadi, keputusan akan diputuskan esok, (Ahad lalu) " kata bekas Ahli MPP PKR itu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hassan dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan beliau belum menerima sebarang maklum balas mengenai keputusan nasib beliau.
"Tiada ada update (perkembangan terkini). Belum ada keputusan," katanya menerusi mesej aplikasi WhatsApp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!