Bukan tugas mudah gantikan 'tok guru' dalam Sabah FC - Alto Linus

Alto (kanan) yakin terhadap kemampuan dan tahap profesional pemain untuk memastikan prestasi terbaik Sabah FC ketika ini dapat dikekalkan.
Alto (kanan) yakin terhadap kemampuan dan tahap profesional pemain untuk memastikan prestasi terbaik Sabah FC ketika ini dapat dikekalkan.
A
A
A

MENGGANTIKAN Datuk Ong Kim Swee menerajui Sabah FC dan mengekalkan prestasi pasukan yang kini pada tahap puncak bukan suatu tugas yang mudah, kata jurulatih sementaranya, Alto Linus.

Beliau berkata, sebagai anak didik Kim Swee, beliau mengetahui corak permainan yang diterapkan ‘tok gurunya’ itu, bagaimanapun mengekalkan prestasi setiap pemain serta mengekalkan corak permainan itu tugas amat mencabar.

"Namun saya yakin terhadap kemampuan dan tahap profesional pemain untuk memastikan prestasi terbaik Sabah FC ketika ini dapat dikekalkan. Bagi saya secara peribadi ini bukan tugas mudah berada di sini untuk menggantikan Kim Swee.

"Tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik kerana saya sendiri pun dididik oleh Kim Swee, sekali gus ia bukan masalah besar untuk mengekalkan prestasi jika semua pihak memberikan kerjasama dengan sebaiknya,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Khamis lepas, Kim Swee, 53, mengumumkan perpisahan dengan skuad Badak selepas kontraknya berakhir 30 November ini, dan media hari ini melaporkan beliau diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu sebuah kelab bola sepak dalam Liga Indonesia, Persis Solo.

Alto, yang juga bekas pemain tengah menyerang Sabah FC itu, yakin Sabah FC berada pada landasan terbaik pada ketika ini sekali gus berupaya mengekalkan prestasi sedia ada, serta memohon sokongan daripada semua pihak seperti sokongan diberikan kepada Kim Swee selama ini.

"Kita yakin pemain sedia ada sememangnya sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan Kim Swee, sekali gus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Alto mengingatkan agar pemain tidak mendabik dada selepas memiliki kelebihan empat gol menjelang perlawanan pusingan kedua menentang PT Athletic FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu beberapa pemain utama pasukan itu tidak akan beraksi malam esok, justeru pemain yang diberikan peluang mengisi kekosongan itu perlu mempamerkan pretasi pada tahap terbaik masing-masing.

"Jangan mudah keupayaan PT Athletic. Mungkin sesuatu boleh berlaku apabila hilang tumpuan pada perlawanan nanti. Sudah tiba masanya untuk kita beri peluang beberapa pemain lain yang jarang diturunkan berikutan beberapa pemain mengalami kecederaan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!