PSG kena buktikan keazaman berdepan Bayern - Enrique
PENGENDALI gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menggesa Les Bleus lebih berani apabila tampil berdepan jagoan Bundesliga, Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara di Allianz Arena.
Malah, pengendali kelahiran Gijon Sepanyol berusia 54 tahun itu yang memulakan karier remaja bersama Sporting Gijon (1981 hingga 1988) mengakui permulaan gagap kelab bandaraya Paris tersebut tidak meninggalkan ruang untuk kesilapan pada perlawanan di bumi Jerman itu nanti.
Sebagai rekod, PSG ketika ini berada di kedudukan bawah bahagian play-off Liga Juara-Juara di tangga ke-25, setelah memenangi satu dan kalah dua daripada empat perlawanan awal setakat ini.
Bayern bimbingan bekas kapten Manchester United, Vincent Kompany pula berada di tangga ke-17 dengan dua kemenangan dan dua kekalahan.
Menurut Enrique, permulaan yang sukar musim baharu domestik selain kempen kejuaraan tertinggi kelab Eropah format baharu telah menjadikan keadaan lebih mencabar.
“Sudah jelas bahawa selepas empat perlawanan, termasuk tiga di Parc des Princes, dengan keputusan yang adil atau tidak adil, bagi saya, kami perlu mempunyai keputusan yang baik untuk layak.
"Kami akan memberikan segalanya, lebih berani, lebih mengambil risiko, seperti yang biasa kami lakukan,” kata Enrique.
Sebagai rekod, tiga perlawanan terakhir menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara, menyaksikan kelab Perancis itu gagal menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.
Lantaran itu, Enrique mengakui bahawa pertarungan di laman keramat Bayern akan menjadi perlawanan yang sukar dan pasukannya perlu beraksi lebih daripada tahap biasa.
"Kami adalah antara pasukan terbaik yang mempunyai peluang gol tetapi hanya akan ada satu bola. Maka satu pasukan perlu menderita. Mereka atau kami.
"Kami mungkin perlu pergi lebih jauh menentang Bayern. Lari lebih banyak, tingkatkan tahap, terutamanya menentang Bayern di tempat sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!