Seorang wanita dibunuh setiap 10 minit
VIENNA - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita dibunuh oleh pasangan atau saudara setiap 10 minit di seluruh dunia pada tahun 2023, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran sambil menegaskan kes ini berada pada tahap membimbangkan.
Menurut laporan bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Agensi Wanita PBB yang diterbitkan Isnin, hampir 85,000 wanita dan kanak-kanak perempuan dibunuh pada tahun lalu.
Laporan itu menyebut, kira-kira 60 peratus atau lebih daripada 51,000 wanita dan kanak-kanak perempuan mati di tangan pasangan atau saudara mereka.
Ini bersamaan dengan 140 wanita dibunuh setiap hari atau seorang setiap 10 minit oleh mereka yang paling rapat dengan mereka.
“Rumah masih kekal sebagai tempat paling berbahaya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan dari segi risiko penganiayaan maut,” kata laporan itu.
Ketika ini, Afrika mempunyai jumlah korban paling teruk dengan seramai 21,700 wanita dibunuh oleh seseorang yang rapat dengan mereka pada 2023.
Kadar pembunuhan wanita direkodkan terendah adalah di Eropah iaitu seramai 2,300 orang pada tahun sama.
Walaupun terdapat usaha di beberapa negara untuk mencegah pembunuhan wanita, mereka masih kekal ‘pada tahap yang membimbangkan’ disebabkan ketidaksamaan jantina.
“Kita menghapuskan pemikiran ketidaksamaan jantina, kuasa, dan norma berbahaya yang mengekalkan keganasan terhadap wanita,” kata Pengarah Eksekutif UNODC Ghada Waly dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan itu.
Data dari negara termasuk Perancis menunjukkan bahawa pembunuhan wanita sering menjadi ‘kemuncak’ episod keganasan yang berulang dan boleh dicegah dengan langkah-langkah seperti perintah sekatan.
Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Sima Bahous berkata, undang-undang yang kukuh, akauntabiliti kerajaan yang lebih besar dan peningkatan pembiayaan untuk organisasi hak wanita serta badan institusi, diperlukan untuk membendung keganasan terhadap wanita.
Katanya, pengumpulan data yang lebih baik daripada sumber negara yang berbeza termasuk laporan media dan ‘budaya toleransi sifar’ adalah penting dalam menangani pembunuhan wanita.
Laporan ini berdasarkan data yang tersedia dari 107 negara atau wilayah dan maklumat telah dikumpulkan oleh UNODC daripada tindak balas dikemukakan oleh negara anggota yang terlibat.
Ia bertepatan dengan Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!