'Tidur di kubur arwah mak, ya itu memang saya'
SHAH ALAM - "Tidur di kubur arwah mak, ya itu memang saya," demikian luah seorang penghantar makanan, Abdul Azim Hasmandi, 28, apabila tular sekeping gambar di TikTok memaparkan dia sedang berehat dan baring bersebelahan pusara ibu tercinta.
Pemuda itu berkata, dia tidak tahu-menahu tentang hantaran yang dimuat naik pengguna TikTok melainkan kawan-kawan sekerja memberitahunya.
Menurut anak kedua dari empat adik-beradik itu, pemergian ibunda tersayang, Norlia Mahmood, 62, sekitar Jun lalu masih meninggalkan kesan mendalam sehingga hari ini, membuatkannya sentiasa ingin menziarahi kubur demi melepaskan rindu.
"Arwah meninggal dunia kerana kemalangan motosikal pada pagi Jumaat sebab nak elak seorang pejalan kaki ketika pulang membeli barang basah untuk meniaga nasi lemak di Bandar Baru Bangi.
"Sebenarnya, ia salah satu cara untuk saya merasa dekat dengan umi selain sedekah Al-Fatihah dan baca Yasin sebab saya memang rapat dengan arwah. Kadang-kadang teringatlah pada dia.
"Banyak perkara tak dapat buat semasa dia hidup, jadi ini inisiatif saya sendiri seperti luang masa di kubur, bersihkan pusara, borak dan teman arwah. Sekurang-kurangnya rasa dekat walaupun berbeza alam," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, sekeping gambar dimuat naik seorang pengguna TikTok, Su Ahmad menampakkan Abdul Azim tidur bersebelahan kubur ibunya hingga mengundang reaksi sayu warga maya.
Hantaran tersebut turut mendapat lebih 292,200 tanda suka, 13,000 perkongsian dan lebih empat juta tontonan setakat ini.
Ditanya mengenai penerimaan dan tanggapan dilemparkan terhadapnya, Abdul Azim berpandangan, adik-beradik yang lain terkejut apabila mengetahui dia sering berehat di kubur ibunya.
Bagaimanapun, jelasnya, dia sudah lama reda dengan ketentuan Ilahi sejak hari pertama arwah terbaring kaku di pinggir jalan sewaktu kemalangan, namun tidak dinafikan rindu yang paling berat adalah apabila kehilangan ibu.
"Adik-beradik dan ahli keluarga saya yang lain pun tak tahu saya selalu baring di kubur. Ada yang terkejut, ada juga yang marah. Tetapi, saya tak hirau kerana cara kita bersedih atau hadapi kehilangan berbeza-beza.
"Jadi, macam-macam cara untuk 'tapis' kesedihan itu. Kalau buat perkara lain, saya tak mampu. Nak tak nak kena reda sebab ini cara saya hilangkan kesedihan.
"Saya dah tak dapat bercakap, lihat depan mata atau dengar gelak tawa umi selepas ini," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!