Pelantikan Azmin cipta getaran positif
SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu mencipta satu getaran positif dalam kalangan rakyat.
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, ikhtiar berkenaan juga untuk memperlihatkan bahawa parti itu telah bersedia kembali memimpin rakyat di Putrajaya.
Katanya, setiap yang berlaku dalam Bersatu sentiasa mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.
“Maksudnya rakyat kita berharap atau meletakkan harapan mereka kepada Bersatu untuk menampilkan pimpinan-pemimpin yang boleh menerajui atau mengemudi suara rakyat di bawah.
“Lantikan Mohamed Azmin ataupun apa yang dihasratkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini saya lihat benar-benar telah mencipta satu getaran positif dalam kalangan rakyat,” katanya ketika program Interviu bersama Sinar Harian di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.
Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia turut yakin dengan kelebihan yang ada pada Mohamed Azmin dapat mentadbir parti dengan baik meskipun tugas dan peranan tentunya berat kerana perlu memastikan Bersatu bergerak dengan kemas, tersusun serta efektif untuk menawan hati rakyat.
“Kelebihan yang ada pada Mohamed Azmin dari segi disiplin, budaya kerjanya dan begitu juga dengan bagaimana beliau menjelaskan setiap isu yang muncul dalam kalangan rakyat mahupun anggota parti.
“Saya yakin itu akan memberikan kelebihan untuk beliau tampil sebagai seorang pemimpin masa depan yang akan mampu membantu Muhyiddin untuk sama-sama mempimpin negara ini di Putrajaya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!