Pemain ke-12 datanglah ke stadium

Selama tiga tahun bermula 2015 hingga 2017, ribuan penyokong Kedah sanggup bermalam dan beratur depan kaunter jualan tiket di Stadium Darulaman semata-mata tidak ingin melepas peluang mendapatkan tiket perlawanan.
Selama tiga tahun bermula 2015 hingga 2017, ribuan penyokong Kedah sanggup bermalam dan beratur depan kaunter jualan tiket di Stadium Darulaman semata-mata tidak ingin melepas peluang mendapatkan tiket perlawanan.
A
A
A

BOLA sepak menjadi sukan yang tidak dapat dipisahkan daripada rakyat negara ini.

Ia digemari oleh kebanyakan golongan kanak-kanak, dewasa sehingga warga emas termasuklah rakyat Kedah yang membanjiri stadium sebelum-sebelum ini.

Selama tiga tahun bermula 2015 hingga 2017, ribuan penyokong Kedah sanggup bermalam dan beratur depan kaunter jualan tiket di Stadium Darulaman semata-mata tidak ingin melepas peluang mendapatkan tiket perlawanan.

Ketika final Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada 2017, terdapat seorang penyokong Kedah dilaporkan pengsan di kaunter F sewaktu berbaris untuk membeli tiket perlawanan, sekali gus menunjukkan betapa sokongan tidak berbelah bahagi penyokong Kedah kepada sukan dan pasukan bola sepak itu.

Pada 2019, ada penyokong Hijau Kuning sanggup menunggu selama 16 jam di hadapan stadium hingga ada membawa kotak sebagai alas tidur walaupun hujan masih turun demi membeli tiket final Piala FA.

Bagaimanapun, situasi kini berbeza apabila kurangnya sokongan pemain ke-12 ataupun penyokong seperti mana pada tahun 2007 hingga 2008.

KDA FC melalui Facebook rasminya memaklumkan jualan dalam talian untuk perlawanan Liga Super Malaysia antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu FC, hanya terjual 242 tiket setakat pagi 19 Oktober 2024 dan jumlah itu sedikit meningkat berbanding 166 tiket sehari sebelumnya, manakala 43 tiket pada dua hari sebelumnya.

Jualan tiket perlawanan dalam talian yang tidak memberangsangkan pada perlawanan antara Kedah dan Terengganu itu disifatkan sebagai membimbangkan.

Bagaimanapun, Kedah membuktikan pasukan itu sebenarnya masih mempunyai sokongan kuat penyokong apabila seramai 3,281 penyokong Sang Kenari hadir di Stadium Darul Aman berdasarkan rekod jualan tiket secara fizikal, online dan pas bermusim.

Artikel Berkaitan:

Lebih bermakna, pasukan Kedah bangkit daripada kekecewaan dengan menewaskan Terengganu FC 1-0.

Bagi penulis, kehadiran pemain ke-12 pada setiap perlawanan Kedah Darul Aman tidak kira sama ada Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan sebagainya mampu menarik kembali lebih ramai penyokong, sekali gus dapat mengatasi masalah kewangan kelab tersebut.

Belum selesai isu kehadiran penyokong, Kedah kini berdepan pula kehilangan Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain yang meletakkan jawatan pada Sabtu.

Sebelum ini, Nafuzi yang terkenal dengan istilah ‘Nafuzi Ball’ yang diberikan pengulas dan penyokong bola sepak menyertai KDA FC pada tahun 2023 selepas meninggalkan Terengganu FC.

Kehadiran pengendali kelahiran Kelantan itu diharapkan mengembalikan kegemilangan Kedah seperti mana ketika pasukan itu muncul juara double treble pada 2007 dan 2008 di bawah kendalian jurulatih legenda, Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah.

Kedah yang pernah memenangi Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 di bawah pimpinan Tan Cheng Hoe turut diharapkan kembali menyinar melalui sentuhan magis Nafuzi.

Hasrat pasukan Hijau Kuning bagaimanapun tidak kesampaian apabila dilanda masalah kewangan sehingga menyebabkan pemain berdepan masalah tunggakan gaji.

Sehubungan itu, khidmat pemain ke-12 amatlah diperlukan bukan setakat untuk menyuntik dana melalui jualan tiket tetapi juga menyemarakkan semangat dan memberi rangsangan kepada pemain untuk melakukan yang terbaik dalam perlawanan mereka.

Apatah lagi, kehadiran pemain ke-12 sentiasa ditagih barisan pemain Kedah, sekali gus amatlah penting kepada pasukan Kedah.

Bagi penulis, pemain tidak kira sama ada Kedah ataupun pasukan bola sepak lain memerlukan suntikan semangat daripada penyokong, malah paling utama masalah kewangan sedang dihadapi dapat diselesaikan segera.

Pemain ke-12 ibarat senjata istimewa yang mampu membuatkan Kedah terus bertahan, malah mampu kembalikan kegemilangan pasukan bola sepak Kedah.

Ayuh pemain ke-12 Kedah datanglah, kembalilah ke stadium.

*Nurul Hidayah Hamid adalah wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!