'Kandungan pembacaan alam digital tanpa sekatan boleh rosakkan masyarakat'

Dr Mahathir ketika hadir pada majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsan Malaysia hari ini. Turut bersama, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kanan). - Foto Bernama
Dr Mahathir ketika hadir pada majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsan Malaysia hari ini. Turut bersama, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan terhadap sumber bacaan digital yang banyak dimuat naik tanpa sekatan hingga menjadi gelanggang penyebaran berita palsu.

Pemangku Menteri Pendidikan berkata, kandungan yang merosakkan masyarakat turut sama disebarkan menerusi platform digital itu.

"Di sinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini, untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasilkan melalui kajian dan yang dicipta secara picisan.

"Sumber pembacaan dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Dewan Canselor Tun Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M lancar Dekad Membaca Kebangsaan

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Dekad Membaca Kebangsaan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pengaruh digital ke atas masyarakat itu antara cabaran hari ini untuk menggalakkan budaya membaca.

Menurutnya, pengaruh digital kepada masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.

Artikel Berkaitan:

"Banyak syarikat akhbar terpaksa menggulung tikar kerana jualan merosot dan buku pula hanya tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak.

"Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca kerana perubahan berlaku kepada sumber pembacaan. Hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan secara digital," katanya.

Justeru katanya, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya tetapi kebimbangan berlaku terhadap bahan bacaan digital palsu dan kandungan negatif.

Berikutan itu, Dr Mahathir berkata, usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlu disusun secara sistematik serta diperluas kepada segenap lapisan masyarakat.

Dr Mahathir ketika melawat ruang pameran pada majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsan Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir ketika melawat ruang pameran pada majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsan Malaysia hari ini. - Foto Bernama

"Ini akan menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Untuk mencapai tujuan ini, kita perlu memastikan industri buku di negara kita berdaya saing dan dapat memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri 4.0," katanya.

Tambah beliau, usaha menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Jelasnya, penulis, editor dan penerbit buku perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif tersebut.

"Daya beli dalam kalangan masyarakat juga perlu diambil kira dalam usaha mewujudkan pasaran buku yang kompetitif dan mampu dibeli oleh rakyat Malaysia.

"Selain itu, kita perlu memastikan 'accessibility' atau kebolehcapaian masyarakat kepada bahan-bahan bacaan tersebut," katanya.

Dr Mahathir dalam ucapannya turut menyokong usaha pembudayaan amalan membaca melalui program Dekad Membaca Kebangsaan.

Usaha itu katanya, mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan membangunkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!