Industri tenaga boleh baharu antara fokus utama pembangunan JS-SEZ
KUALA LUMPUR - Aspek industri tenaga boleh baharu (TBB) akan menjadi antara fokus utama dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka memberi manfaat besar kepada Malaysia dan Singapura.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed berkata, Singapura misalnya memerlukan bekalan tenaga mampan untuk memastikan kelangsungan industri di republik itu dan Johor dilihat sebagai berpotensi dalam memenuhi keperluan berkenaan.
"Kita lihat selain daripada tenaga, sektor lain yang ingin kita fokus dalam kerjasama ini adalah industri yang boleh memberi nilai tambah besar kepada ekonomi negara," katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, malam tadi.
Dr Zunika berkata, pada masa sama, selain menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui, JS-SEZ juga dirancang bagi menarik pelaburan asing, memperkasa kemudahan pergerakan barangan dan penumpang serta meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.
Johor juga berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelabur asing, termasuk pelabur dari Singapura yang mahu mengembangkan perniagaan mereka.
"Dengan adanya JS-SEZ ini, kita dapat menarik lebih banyak pelaburan masuk ke negeri Johor dengan limpahannya juga ke seluruh negara kita," katanya.
Beliau berkata, perbincangan bagi pembangunan JS-SEZ kini di peringkat fasa akhir dengan perjanjian rasmi antara kedua-dua negara dijangka dimeterai dalam masa terdekat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilaporkan berkata Perjanjian Bersama JS-SEZ di antara Malaysia dengan Singapura dijangka ditandatangani pada 9 Disember 2024.
Mengulas Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Dr Zunika berkata, aspek itu sedang dirangka dengan teliti dan melibatkan pelbagai pihak dan golongan masyarakat dalam memastikan semua terbabit dapat bergerak bersama di bawah inisiatif Malaysia Madani.
Beliau berkata, RMK13 akan memberi fokus kepada pelaksanaan janji kerajaan dalam memperkenalkan pembaharuan untuk membetulkan keadaan sosial serta ekonomi rakyat.
"Insya-ALLAH, kita telah pun melihat perkembangan ekonomi dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang menunjukkan kita sebenarnya berada dalam landasan yang betul untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan manfaatnya untuk rakyat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!