Bapa Sharnaaz Ahmad meninggal dunia
BAPA kepada pelakon terkenal Sharnaaz, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad meninggal dunia pada awal pagi Rabu.
Berita pilu ini dimaklumkan sendiri oleh Sharnaaz menerusi akaun Instagram miliknya.
"Hero saya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.40 pagi ini. Dia tidak pernah berhenti putus asa, hanya jantungnya sahaja yang berhenti berdegup.
"Dia selamanya akan menjadi hero dan juara untuk saya. Saya sayang papa, Al- Fatihah papa," tulisnya.
Dalam hantaran sama, pelakon berusia 38 tahun itu memaklumkan jenazah dalam perjalanan untuk dibawa pulang ke kampung halaman keluarganya di George Town, Pulau Pinang.
Dalam nada sayu, Sharnaaz turut berterima kasih kepada bapanya kerana telah menjadi sosok bapa yang hebat dan kuat.
"Terima kasih kerana menjadi bapa yang hebat kepada kita semua. Saya setengah kuat seperti anda, separuh sebagai ayah yang baik seperti anda. Sekarang ajar saya untuk menjadi yang hebat seperti anda dari syurga tau," tulisnya lagi.
Sementara itu, Sharnaaz memaklumkan solat jenazah akan diadakan di Masjid Syed Eyusof, George Town selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Lama. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!