Format baharu Liga Juara-Juara bukan mudah

Simeone
Simeone
A
A
A

FORMAT baharu Liga Juara-Juara yang mula diperkenalkan penganjur musim ini bukan sesuatu yang mudah untuk mana-mana kelab, tegas pengendali gergasi LaLiga Sepanyol, Club Atletico de Madrid, Diego Simeone.

Colchoneros kendalian bekas pemain Argentina berkenaan terdahulu menambah koleksi tiga mata selepas kelab La Liga Sepanyol itu membelasah juara Republik Czech, Sparta Prague, 6-0 di Epet Arena.

Kejuaraan kelab peringkat teratas Eropah itu kini berwajah baharu dengan penyertaan 36 pasukan, dalam format liga yang menyaksikan setiap pasukan berdepan lapan lawan berbeza dan bukan lagi kumpulan dengan tiga perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan.

Lapan kelab teratas layak secara automatik ke pusingan 16 terbaik manakala baki 16 perlu mengharungi playoff untuk ke peringkat seterusnya.

"Sejujurnya, berdasarkan aksi setiap pasukan dan keputusan perlawanan, saya faham bahawa format baharu ini mahu semua pihak memberi perhatian lebih serius.

"Bagi kami, sebaik sahaja pasukan ini bergerak ke hadapan dan pengalaman format pertama ini berakhir, kami akan mempunyai idea yang lebih jelas mengenai apa yang sebenarnya kami perlu lakukan selepas ini.

"Mereka sentiasa memberi tekanan kepada anda untuk menang. Itu juga berlaku sebelum ini, tetapi kini ia adalah liga semua orang bermain menentang semua orang dan semestinya bukan mudah untuk sesiapa pun pasukan," ujar Simeone.

Kemenangan Atletico dibarakan jaringan bintang Argentina, Julian Alvarez (m-15, m-59,), Marcos Llorente (m-43), manakala tiga lagi dijelmakan pemain gantian Antoine Griezmann (m-70) dan Ángel Correa (m-85, m-89).

Artikel Berkaitan:

Atletico selepas lima perlawanan masih berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan itu setelah meraih tiga kemenangan dan dua kekalahan untuk mengumpul sembilan mata.

Angkatan Simeone dalam perlawanan terakhir sebelum itu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang 2-1 di Paris ke atas Paris Saint-Germain (PSG).

Atletico selepas ini akan kembali semula ke saingan liga dengan mengadakan kunjungan ke Stadium Jose Zorrilla menentang Real Valladolid pada 1 Disember sebelum menerima kehadiran Sevilla di Riyadh Air Metropolitano, lapan hari selepas itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!