Lima pegawai kadet UPNM dibuang, diarah bayar ganti rugi pada kerajaan

Mohamed Khaled. Foto Bernama
Mohamed Khaled. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lima pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan dibatalkan lantikan dan diberhentikan daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang pada Isnin turut memutuskan lima pegawai kadet berkenaan iaitu Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, Izzat Izuddin Mohammad Arif, Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan, Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi dan Ammar Hafiy Muhammad Habib dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia berdasarkan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.

"Tindakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohamed Khaled, Amirul Iskandar Pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) dikenakan bayaran ganti rugi oleh MAT sebanyak RM44,600.20 kepada kerajaan selepas didapati terbabit sebagai pelaku kes tekapan seterika ke dada pegawai kadet, Muhammad Salman Mohd Saiful Surash seperti dilaporkan Oktober lalu.

Bagi kes penganiayaan terhadap pegawai kadet Alief Ahsreihan Ahslemy, Izzat Izuddin, Muhammad Hidayat Haqimi dan Muhammad Irfan masing-masing dikenakan ganti rugi berjumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.

Izzat Izuddin yang juga merupakan Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (Pengambilan 2021) telah mengarahkan Muhammad Hidayat Haqimi selaku pelaku kedua untuk mengenakan Hukuman Pembetulan terhadap mangsa yang mana bertentangan dengan peraturan ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK.

Sementara, pelaku ketiga, Ku Muhammad Irfan yang juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengambilan 2021) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal dan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.

Ammar Hafiy pula didapati telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal yang menyebabkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’ terhadap pegawai kadet Yeong Kian Rui.

Artikel Berkaitan:

Dia yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengambilan 2022) dikenakan bayaran RM32,115.95 sebagai ganti rugi kepada kerajaan.

Tegas Mohamed Khaled, Kementerian sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambahbaik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.

"Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.

"Pihak kementerian berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan yang sepatutnya diamalkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!