361 along diberkas dalam operasi khas
KUALA LUMPUR - Seramai 361 individu yang disyaki terbabit kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along, ditahan dalam operasi khas selama sembilan hari di seluruh negara bermula 4 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, individu yang ditahan itu berperanan sebagai pemberi pinjam wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun keldai, ejen simbah cat dan pengedar risalah serta gegantung iklan.
"Kesemua suspek ditahan kerana dipercayai terbabit kegiatan along samada secara langsung atau tidak langsung," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ramli berkata, kesemua individu berusia lingkungan 18 hingga 77 tahun itu ditahan termasuk termasuk pekerja di syarikat pemberi pinjaman wang berlesen yang yang dikesan melanggar syarat Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2024.
“Hasil serbuan, kita merampas pelbagai barangan dan dokumen antaranya 361 telefon bimbit, 399 kad ATM, 10 komputer riba, 11 kenderaan, 1,439 keping kad pinjaman, 250 ikat gegantung, 269 perjanjian pinjaman wang dan wang tunai RM12,994,” katanya.
Ramli berkata, sebanyak 136 kertas siasatan dibuka, daripada jumlah itu, 25 kertas siasatan membabitkan 41 individu sudah berjaya dituduh di mahkamah.
"Selebihnya masih disiasat mengikut Seksyen 5(2), Seksyen 29AA dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata sebanyak 977 kes along direkodkan pada 2021 dan angka itu meningkat kepada 989 kes pada 2022, manakala 1,162 kes direkod pada tahun lalu.
"Sebanyak 777 kes along telah direkodkan sejak awal tahun hingga Oktober lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!