Loji insinerator Langkawi kembali beroperasi Jun tahun depan
ALOR SETAR - Loji insinerator di Langkawi dijangka kembali beroperasi pada Jun tahun depan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan negeri, Mejer (B) Mansor Zakaria berkata, ia disebabkan terdapat beberapa kerosakan besar pada komponen utama loji tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa enam bulan untuk menjalankan kerja-kerja penjagaan melibatkan ‘housekeeping’, landskap, kawalan keselamatan dan kawalan alam sekitar.
“Loji insinerator Langkawi sebelum ini beroperasi bawah seliaan Drizzle Enginering Sdn Bhd pada Oktober 2022. Namun pada 3 Mei 2024, kontrak pengoperasian dan penyelenggaraan loji dianugerahkan kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd untuk tempoh enam tahun bermula 3 Mei 2024,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Mansor berkata, syarikat terbabit dikehendaki menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji insinerator termasuk menaiktaraf loji dengan penambahan komponen di saluran B dalam tempoh dua tahun.
“Operator diarahkan untuk menjalankan operasi pembakaran sampah sekurang-kurangnya 3,000 jam setahun atau 11 hari sebulan. Ia bagi memberi ruang kepada operator menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang perlu untuk pastikan loji dapat beroperasi pada kadar optimum, iaitu keupayaan membakar sehingga 100 tan sehari.
“Dalam tempoh setahun, loji mempunyai keupayaan membakar sehingga 13,200 tan sampah. Loji tersebut akan beroperasi lebih efektif untuk membakar keseluruhan sisa domestik di Langkawi tanpa perlu dilupuskan di Tapak Pelupusan Belanga Pechah,” katanya.
Menurutnya lagi, pelupusan sisa pepejal dari sektor komersial dan industri pula dilupuskan di Tapak Pelupusan Belanga Pechah.
“Kerajaan telah melantik syarikat Wahyu Teknik Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Tapak Pelupusan Belanga Pechah, dengan mewujudkan sel baharu di sebahagian lot bagi memastikan keseluruhan sisa dapat dilupuskan.
“Kerja-kerja menaiktaraf tapak pelupusan ini sudah bermula dan dijangka siap 3 Oktober 2027 dengan kos RM 25,700,700,” katanya.
Sementara itu, Mansor memaklumkan, sebuah pusat pelupusan sampah berkonsepkan 'waste to energy' (WTE) akan dibina di Semeling.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2019 bersetuju membangunkan sekurang-kurangnya satu fasiliti pengurusan sisa pepejal berkonsepkan WTE di setiap negeri melalui kerjasama awam swasta secara tender terbuka, Request for Proposal (RFP),” katanya.
Menurutnya, buat masa ini Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling masih ditutup dan tidak beroperasi.
“Kontrak perjanjian antara kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Sungai Petani dan Semula Resources Sdn Bhd selama 25 tahun bermula 2013 hingga 2038. Pada masa ini, kajian semula perundangan antara ketiga-tiga pihak masih dalam perbincangan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!