Hasrat buat pinjaman musnah, pegawai perakaunan rugi lebih RM200,000
NILAI - Hasrat seorang pegawai perakaunan syarikat swasta untuk mendapatkan pinjaman bagi pembelian sebuah kedai bukan saja musnah, malah turut mengalami kerugian lebih RM200,000.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa berusia pertengahan 30-an telah membuat laporan polis Ahad lalu.
"Mangsa menyatakan pada akhir bulan Disember lalu telah berurusan dengan seorang ejen hartanah untuk memohon pinjaman bagi pembelian sebuah kedai yang berharga RM158,000.
"Mangsa telah pun membuat bayaran proses untuk pembelian kedai tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pada awal bulan ini, mangsa memberitahu telah dihubungi oleh ejen bank yang menjanjikan akan membantunya untuk mempercepatkan proses permohonan pinjaman tersebut.
Ujarnya, mangsa kemudian telah membuat pembayaran secara berperingkat bermula pada 28 Disember 2023 hingga 6 Oktober lalu yang berjumlah keseluruhan RM209,980.70.
"Bayaran itu bertujuan untuk mempercepatkan proses mendapatkan pinjaman tersebut.
"Namun mangsa mengesyaki dia ditipu selepas mendapati tiada sebarang permohonan pinjaman dibuat oleh ejen tersebut dengan pihak bank," katanya.
Sehubungan itu katanya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak berkuasa dan institusi kewangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan pinjaman melalui ejen hartanah atau orang persendirian bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!