Misi ke Korea Selatan mampu jana pelaburan lebih RM850 juta
ISKANDAR PUTERI - Misi galakan perdagangan dan pelaburan ke Korea Selatan yang diketuai oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini telah menghasilkan prospek pelaburan yang positif dengan anggaran nilai pelaburan berpotensi melebihi RM850 juta.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, delegasi berkenaan telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan, termasuk Hanwha Solutions Corporation, SPC Group, LG Chems dan CJ CheilJedang Group.
Katanya, kesemua syarikat berkenaan menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor-sektor seperti tenaga bersih, bahan kimia, dan industri makanan halal.
“Syarikat-syarikat berkenaan telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap peluang pelaburan di Johor, terutamanya dengan penubuhan JS-SEZ yang menawarkan ekosistem perniagaan yang kondusif dan akses strategik ke pasaran serantau.
"Sebagai contoh, Hanwha Solutions Corporation yang terkenal dengan inovasi dalam sektor tenaga bersih dan bahan kimia, manakala SPC Group merupakan syarikat makanan global yang menerajui pasaran dengan jenama terkenal seperti Paris Baguette.
“Selain itu, seminar bertajuk 'Unlocking Regional Growth: Business Opportunities in Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ)' telah menarik penyertaan 83 syarikat terkemuka Korea Selatan dari pelbagai industri untuk melabur ke Johor,” katanya.
Ting Han berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Ting Han berkata, kerajaan negeri yakin lawatan kerja berkenaan akan memberikan kesan positif yang besar kepada Johor pada masa akan datang.
Katanya, kesan positif berkenaan bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi juga melalui pembangunan industri strategik yang mampan.
“Kita yakin, dengan penyusunan ekosistem pelaburan yang lebih teratur, Johor akan terus kekal sebagai salah satu negeri yang paling berdaya saing di Malaysia dan rantau ini.
“Selain itu, kawasan perindustrian seperti Ibrahim Technopolis (IBTEC), Iskandar Halal Park, Eco Business Park, Nusajaya Tech Park, AME I Park dan Senai Airport City yang menyediakan infrastruktur asas yang baik turut menjadi lokasi tumpuan.
“Antara lokasi yang bakal jadi tumpuan bagi pelaburan adalah seperti Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat dan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) yang merupakan lokasi yang strategik serta siap dengan infrastruktur yang lengkap dan kemudahan sokongan untuk industri kimia dan petrokimia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!