[VIDEO] Pesara kerajaan Sabah dapat bonus RM1,000

A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 13,000 pesara kerajaan Sabah menerima khabar gembira apabila diumumkan bonus sebanyak RM1,000 yang akan dibayar menjelang sambutan Aidilfitri tahun hadapan.

Pengumuman itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (Kopeks) ke-47 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, bonus tersebut diharap dapat membantu meringankan bebanan pesara kerajaan negeri yang akan menyambut perayaan nanti.

"Saya telah maklumkan tadi bahawa kita juga akan membayar bonus kepada pesara-pesara kerajaan negeri Sabah pada tahun depan dan Insya-ALLAH kita akan bayar pada sebelum menjelang Aidilfitri RM1,000 seorang.

"Saya dimaklumkan mungkin lebih kurang 13,000 orang pesara kerajaan negeri. Jadi saya harap dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka menyambut Aidilfitri dan perayaan lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada majlis tersebut.

Sebelum itu, dalam ucapan Hajiji berkata, berita gembira itu diumumkan beliau bagi memenuhi permintaan golongan pesara di negeri ini.

Hajiji bersama ahli Kopeks ketika hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (Kopeks) ke-47 di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji bersama ahli Kopeks ketika hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (Kopeks) ke-47 di SICC, Kota Kinabalu.

"Tadi semasa minum saya telah mendengar ada permintaan daripada pesara kita, rupanya mereka tidak mendapat bayaran bonus untuk tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Yang telah kita umumkan ialah bagi pegawai-pegawai kerajaan negeri minimum RM3,000 kita akan bayar tahun depan, jadi saya rasa tidak adil bagi pesara-pesara kerajaan yang telah memberi khidmat bakti kepada negeri kita tidak bagi," katanya.

Sementara itu, berucap mengenai Kopeks, beliau berkata koperasi tersebut kekal relevan dan terus menjadi pilihan penjawat awam.

"Kopeks pada awalnya menyediakan kemudahan pembiayaan kredit dan pelbagai kemudahan lain kepada ahlinya dan sebab itu Kopeks amat sinonim dengan penjawat awam sejak dulu lagi.

"Selain pembiayaan kredit, ada pelbagai program lain turut disediakan antaranya program pembiayaan menunaikan umrah, program pelancongan anggota, tabung khairat bagi ahli yang meninggal dunia, insentif pendidikan, sumbangan masyarakat asnaf, anak yatim dan keluarga yang sakit dan memerlukan bantuan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa hampir 90 peratus ahli telah menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan Kopeks khususnya bagi tujuan menampung pengajian anak anggota yang melanjutkan pelajaran, kos perubatan dan baik pulih rumah khusus bagi ahli yang akan bersara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bantuan seperti itu ia selari dengan pendekatan kerajaan negeri dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!