Senarai nama calon TYT Sabah dihantar dalam masa terdekat - Hajiji

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan mengemukakan nama yang dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang seterusnya kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong yang memutuskan dan melantik Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.

"Tepulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik TYT. Saya akan hantar nanti dalam masa yang terdekat," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika kerajaan negeri sudah menyenaraikan nama calon TYT untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan spekulasi tiga nama yang disebut-sebut mempunyai kelebihan untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Tun Juhar Mahiruddin yang merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-10 dilantik sejak 1 Januari 2011 bakal menamatkan tempoh perkhidmatanya pada akhir tahun ini dan kekosongan tersebut akan diisi oleh TYT yang baharu.

Sehingga kini, antara nama yang disebut-sebut berpotensi menggantikan Tun Juhar ialah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas Speaker Dewan Rakyat yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!