Wang simpanan lebih RM150,000 lesap wanita terpedaya pinjaman tidak wujud
JOHOR BAHRU - Seorang juru kecantikan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM156,468 lesap akibat diperdaya sindiket pinjaman atas talian yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, wanita berusia 38 tahun itu mula berminat untuk membuat pinjaman tersebut setelah terlihat iklan pinjaman wang di Facebook yang menggunakan nama dan logo sebuah bank tempatan.
“Mangsa yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri telah berhubung dengan wakil pinjaman tersebut melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan penerangan lanjut mengenai syarat-syarat pinjaman selain dijanjikan proses yang mudah dan kelulusan segera dengan syarat mangsa membuat beberapa pembayaran pendahuluan.
“Oleh kerana percaya dengan tawaran pinjaman berkenaan, mangsa kemudiannya bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM300,000 selain mengikut arahan suspek dengan membuat 18 kali transaksi pembayaran kepada 14 akaun bank berbeza mulai 16 November hingga 20 November yang keseluruhannya berjumlah RM156,468.
“Bagaimanapun, wang pinjaman yang dijanjikan masih tidak diterima, malah suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan,” katanya.
Ujar beliau, mangsa kemudiannya membuat laporan polis setelah mendapati dirinya ditipu apabila membuat semakan di bank yang mendakwa pinjaman berkenaan tidak wujud.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.
Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pinjaman secara atas talian yang menjanjikan proses yang mudah dan cepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!