Tukang gunting rambut didakwa memiliki 900 liter air ketum
IPOH - Seorang tukang gunting rambut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan memiliki 900 liter air ketum.
Tertuduh, Jamal Mirdad Khairuddin, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, duda itu didapati berada dalam kawalannya anggaran 900 liter cecair mengandungi mitragynine yang disenaraikan dalam jadual ketiga (Bahan-Bahan Psikotropik) Akta Racun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pakatan Jaya di sini sekitar jam 12.10 tengah malam pada 22 November 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) Akta sama yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.
Terdahulu, Nor Izawani memohon jaminan rendah berikutan tertuduh bekerja dengan pendapatan RM80 sehari selain menanggung seorang anak dan ibunya berusia 60 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 5 Februari 2025 untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.
Sebelum ini, media melaporkan satu sindiket memproses dan menjual air ketum yang aktif sejak dua tahun lalu tumpas dengan menahan enam lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun, Jumaat lalu.
Pemeriksaan polis menemui 3,000 bungkusan air ketum dianggarkan 900 liter yang tersimpan dalam tong air selain 35 bungkusan plastik hitam mengandungi dedaun ketum seberat 350 kilogram, tiga unit tong gas dan dua periuk.
Nilai keseluruhan bungkusan air dan daun ketum yang dirampas berjumlah RM41,000 dan bekalan tersebut diproses serta siap dibungkus untuk diedarkan di sekitar kawasan Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!