Pejabat Imigresen Cawangan Kuala Langat baharu lebih kondusif, selesa
BANTING - Tidak selesa, sempit dan kurang tempat parkir kenderaan antara aduan yang diterima Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) oleh orang awam menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berhubung masalah pejabat cawangan lamanya di Kuala Langat.
Bagaimanapun, kecekapan pengurusan JIM berjaya memindahkan cawangan itu di lokasi yang lebih strategik di Pusat Perdagangan Banting, di sini, sejak seminggu lalu.
Pejabat cawangan yang beroperasi sejak 12 tahun lalu itu sebelum ini beroperasi di tingkat dua bangunan di Jalan Cempaka Sari, di sini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, pejabat lama agak sempit dan tidak kondusif berbanding pejabat baharu yang memiliki enam kaunter serta kemudahan lif.
Katanya, pejabat baharu ini mampu mengeluarkan sehingga 100 naskah pasport dalam sehari tanpa orang awam perlu menunggu lama.
"Di sini (pejabat baharu) ada kemudahan lif, tempat duduk yang banyak selain orang awam mudah untuk mendapatkan tempat parkir.
"Ini merupakan tahun ke-14 cawangan Kuala Langat beroperasi dan akan diperluas dengan perkhidmatan lain seperti permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), permit pembantu rumah selain visa,"," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Imigresen Cawangan Kuala Langat di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin serta pegawai-pegawai kanan jabatan di Selangor.
Tambah Jafri, diharap dengan ruang baharu ini, pejabat cawangan JIM dapat beroperasi dengan lebih baik dan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penduduk setempat.
Katanya, pejabat ini beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dengan melaksanakan perkhidmatan permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa.
"Untuk rekod, sepanjang tahun lalu pejabat ini telah mengeluarkan 16,615 pasport dengan purata 1,384 pasport dikeluarkan dalam sebulan," ujarnya.
Jelasnya, pembukaan pejabat pasport ini membuktikan kesungguhan dan komitmen JIM untuk memberikan perkhidmatan kaunter yang berkualiti serta mengutamakan keselesaan kepada pelanggan yang hadir berurusan di samping menangani isu kesesakan di pejabat pengeluar pasport JIM yang sering disuarakan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!