[VIDEO] GISBH: Pemimpin, pengikut sertai program pemulihan akidah terima elaun harian
KUALA LUMPUR - Pemimpin dan pengikut GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) yang mengikuti program pemulihan akidah secara sukarela ditawarkan bantuan kewangan berbentuk elaun harian sebagai antara usaha menarik penyertaan kumpulan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri bagi menggalakkan penyertaan sukarela yang masih lagi rendah.
"Usaha-usaha dilakukan, antaranya adalah ada majlis agama Islam, Jakim dan kerjasama jabatan agama Islam negeri telah menawarkan bantuan kewangan seperti elaun harian.
"Mereka yang hadir ke program pemulihan tersebut akan diberikan elaun harian bukan sahaja kepada mereka, tetapi kepada anak dan isteri mereka.
"Latihan kemahiran juga kita tawarkan kepada mereka yang mengikuti program ini agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dan diberikan bantuan kewangan seperti yang diinisiatifkan oleh pihak berkuasa agama dan agensi yang menguruskan zakat," katanya ketika Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai usaha kerajaan untuk memanggil atau memujuk ahli kumpulan GISBH menyertai program pemulihan akidah.
Sebelum itu, Mohd Na'im menjelaskan, bagi memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerajaan telah melancarkan program rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela kepada seluruh ahliGISBH.
Katanya, Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan Jakim dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIN dan MKN negeri telah memulakan projek rintis pada 7 November 2024 di rumah pemulihan MAIS dengan mengguna pakai modul Istitabah MAIS.
"Penilaian akan dilaksanakan ada setiap 30 hari selepas sesi pemulihan dilaksanakan. Berasaskan projek rintis ini, Jakim dengan kerjasama MKN dan pelbagai agensi akan menjalankan program pemulihan dengan modul yang komprehensif.
"Modul yang digunakan diselaraskan bersama MAIS, JKM,KPM, KDN, LPPKN, JTK dan AKM. Modul tersebut meliputi aspek pemulihan akidah dan syariah, pendidikan, kaunseling, kesihatan, kenegaraan dan juga latihan kemahiran untuk persediaan kelangsungan hidup selepas kembali ke pangkuan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!