Penerima Desa Sejahtera dipilih tanpa mengira fahaman politik - Sanusi
ALOR SETAR - Penerima Kampung Tersusun Desa Sejahtera yang diperkenalkan kerajaan negeri akan diagih secara adil kepada individu yang layak tanpa terikat kepada fahaman politik.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak akan mengulangi tindakan kerajaan negeri terdahulu yang mengagihkan lot tapak rumah hanya kepada penyokong parti politik tertentu.
Menurutnya, pemilihan penerima Desa Sejahtera akan diteliti sebaiknya dengan memfokus kepada golongan miskin dan miskin tegar berkeluarga yang tidak mempunyai tanah atau rumah.
“Kita bagi pada mereka yang layak, tak kira parti apa atau latar belakang mereka. Kita nak elak berlaku macam zaman dahulu.
“Contoh Kampung Keda, syarat perlu jadi ahli parti politik tertentu baru boleh duduk situ. Selepas itu kawasan itu akan jadi kubu kuat atau deposit tetap parti tersebut pada pilihan raya. Zaman sekarang orang tak buat benda karut seperti itu,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Radzi Md Amin (Pas-Pedu) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri juga tidak akan meminggirkan bukan Melayu dalam projek Kampung Tersusun Desa Sejahtera.
“Kita akan rancang Desa Sejahtera untuk kaum Siam berasingan sebab budaya tidak sama jadi kita tempatkan mengikut kedudukan sosioekonomi yang sesuai.
“Pada masa akan datang kita cuba wujudkan pula khusus untuk kaum Cina dan India. Disebabkan orang Melayu penduduk ramai di Kedah, kita utamakan dahulu kaum Melayu sebelum diperluaskan kepada bukan Melayu,” katanya menjawab soalan tambahan Bau Wong Bau Ek (PKR-Sidam).
Menurutnya, perkampungan Desa Sejahtera akan dibina secara berperingkat mengikut keperluan di setiap daerah.
“Kita akan pastikan tapak tersebut tersedia untuk golongan yang memerlukan rumah.
“Biarpun diperuntukkan 100 lot tapak bagi setiap daerah namun kita akan laksana secara berperingkat mengikut permintaan. Kita akur keperluan setiap daerah tidak sama sebab sosioekonomi juga berbeza,” ujarnya.
Sanusi berkata, jumlah keseluruhan lot tanah yang diperuntukkan untuk kampung tersusun ini meliputi 1,281 plot.
Kampung Tersusun Desa Sejahtera pertama di Kedah dibangunkan atas bekas tapak kuari di Kampung Perik, mukim Kurong Hitam di Kuala Nerang berkeluasan kira-kira 3,600 kaki per segi.
“Daerah Kuala Muda diperuntukkan sebanyak 427 plot, diikuti Sik sebanyak 227 plot, Kubang Pasu (142), Baling (129), Padang Terap (101), Langkawi (70), Pokok Sena (63).
“Sementara di Pendang sebanyak 58 plot, diikuti Kulim (32), Bandar Baharu (19) serta Yan (13),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!