3 pelajar Kolej Komuniti Jerantut hasilkan sapuan coklat guna biji cempedak

Dari kanan; Sivaneswary, Muhammad Hazim, Shahril dan Noraihan bersama produk sapuan coklat berasaskan biji cempedak.
Dari kanan; Sivaneswary, Muhammad Hazim, Shahril dan Noraihan bersama produk sapuan coklat berasaskan biji cempedak.
A
A
A

JERANTUT - Hasil inovasi tiga pelajar Kolej Komuniti Jerantut yang menghasilkan sapuan coklat berasaskan biji cempedak berjaya menarik perhatian juri untuk merangkul juara dalam pertandingan Inovasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (INNOVET 2024) kategori teknologi makanan.

Pertandingan yang berlangsung di Kolej Komuniti Jerantut turut melibatkan penyertaan inovasi dari sekolah daerah Jerantut dan Jengka.

Tiga pelajar terbabit iaitu Sivaneswary Ananthan; Muhammad Hazim Ahmad Jais dan Shahrul Redzuan Shamsuri, masing-masing berusia 18 tahun tampil dengan produk yang diberikan nama 'cemptella'.

Menurut Sivaneswary, idea timbul selepas melihat biji cempedak dibuang begitu sahaja kerana hanya isinya dimanfaatkan sama ada dimakan mentah atau digoreng walaupun harganya agak mahal.

"Jadi saya bersama dua rakan memikirkan bagaimana untuk memanfaatkan biji cempedak itu menjadi produk berguna dan mendapat persetujuan daripada pensyarah pembimbing, Noraihan Ahmad @ Mohamad.

"Akhirnya kami mendapat idea untuk menjadikan biji cempedak itu sebagai bahan utama sebagai produk sapuan yang dicampur coklat untuk roti atau biskut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Hazim pula berkata, biji cempedak dipotong kecil dan kemudian dijemur hingga kering sebelum dikisar agar menjadi tepung.

Jelasnya, bahan tepung biji cempedak itu dicampur dengan coklat cair agar menjadi sapuan coklat yang likat bertujuan untuk memekatkan sapuan terbabit

Artikel Berkaitan:

Tambah Muhammad Hazim, selain kos yang rendah, kelebihan produk itu menghasilkan tekstur yang pekat selain tepung biji cempedak turut memberikan rasa unik kepada sapuan coklat tersebut.

"Ia juga mempunyai nilai dari segi kesihatan kerana memiliki kandungan karbohidrat dan serat yang tinggi dan sesuai untuk semua golongan," jelasnya.

Katanya, kos untuk menghasilkan produk itu juga lebih murah jika dibandingkan dengan sapuan coklat yang ada di pasaran yang diimport menggunakan coklat dan campuran hazelnut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!