Ideologi keganasan: Adik suspek serang Balai Polis Ulu Tiram mengaku tak bersalah
KUALA LUMPUR - Adik kepada lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram Mei lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan tidak memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan sejak tujuh tahun lalu.
Penjual kuih, Mariah Radin Imran, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim K Muniandy.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor antara April 2017 hingga 17 Mei lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan tertuduh diwakili peguam, Arief Firdaus Ashikin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Januari 2025 untuk pengurusan kes.
Pada 24 September lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, yang berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka ialah bapa penyerang, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!