Malaysia guna forum, saluran diplomatik selesai isu Laut China Selatan

Mohamad Alamin ketika sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Mohamad Alamin ketika sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, Malaysia yang juga negara penyelaras dialog ASEAN-China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027 akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung keselamatan perairan negara termasuk isu pencerobohan di Beting Patinggi Ali, Sarawak di platform berkaitan bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara.

Beliau berkata, Malaysia berpendirian tegas bahawa semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan atau bersifat provokatif dan mengamalkan pendekatan self-restraint.

"Kementerian Luar secara konsisten telah dan akan mengemukakan nota bantahan kepada negara-negara yang berkenaan sekiranya kapal dan aset mereka didapati menceroboh perairan negara," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai perancangan kerajaan dalam mempertahankan pencerobohan terhadap Beting Patinggi Ali yang berlaku sejak 2013 dan langkah alternatif yang wajar dilaksanakan memandangkan pendekatan mengawal kapal pengawal pantai China dan nota diplomatik tidak berkesan kerana China tidak mengiktiraf Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Mohamad berkata, mesyuarat keempat Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China, dengan Malaysia sebagai pengerusi bersama, kini sedang berlangsung di Vientiane, Laos untuk memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

"COC ini perlu dihormati oleh semua negara ASEAN dan China yang telah memeterai Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) di Laut China Selatan pada 2002. Sekarang kita dalam proses untuk memuktamadkan COC," katanya.

Mohamad sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan berdasarkan Sembilan Garis Putus atau mana-mana peta diterbitkan negara itu yang meliputi kawasan maritim negara ini.

Artikel Berkaitan:

Berhubung kawalan di kawasan Beting Patinggi Ali, beliau berkata kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa memberi perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

"Tindakan yang diambil termasuklah rondaan pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran (pihak berkuasa) di kawasan terbabit," katanya.

Kerajaan sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali ialah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!