Reruai Grup Buku Karangkraf kini di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025
SHAH ALAM - Reruai Grup Buku Karangkraf (GBK) kini berada di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Setia Alam selama satu minggu bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.
Eksekutif Pemasaran GBK, Aizuddin Jamali berkata, pihaknya menawarkan pelbagai genre buku atau bahan bacaan yang sesuai untuk semua lapisan umur.
"Kami menawarkan bahan bacaan seperti buku seram, motivasi, fantasi, fiksyen, al-Quran dan juga buku kanak-kanak. Kita juga berikan diskaun sehingga 15 peratus untuk setiap serta ada pakej-pakej kombo untuk buku yang terpilih.
"Bukan itu sahaja, kita juga bawakan buku baharu terbitan Buku Prima. Jadi, kami menjemput semua peminat buku atau novel di luar sana terutamanya yang meminati hasil karya daripada produk GBK, boleh datang ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 bermula hari ini sehingga Rabu depan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Aizuddin memaklumkan, pelbagai kaedah pembayaran yang disediakan di reruai GBK iaitu menerusi bayaran tunai atau kad debit serta imbasan kod QR.
Tambahnya, staf di reruai sedia membantu pengunjung yang hadir sekiranya mereka tidak tahu untuk membuat pilihan berkaitan jenis buku bersesuaian.
"Jadi kepada yang di luar sana, jika tak tahu nak baca buku apa, datang ke sini. Kita boleh cadangkan pelbagai jenis bahan bacaan dan Insya-ALLAH ia sesuai untuk semua lapisan umur serta masyarakat.
"Bagi anda yang akan hadir, boleh datang ke reruai (GBK) di tapak bernombor H03 dan H02 yang berada di laluan pintu masuk, bagi mendapatkan tawaran istimewa disediakan.
"Sabtu ini juga kita akan lancarkan buku terbitan baharu, jika nak tahu buku apa... anda kena datang dan saksikan sendiri nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!