Zon kewangan khas fokus perkhidmatan perbankan, kewangan
ISKANDAR PUTERI - Sektor perkhidmatan perbankan dan kewangan akan menjadi menjadi fokus utama dalam zon kewangan khas.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dua sektor berkenaan melibatkan kawasan Pulau Satu manakala kawasan daratan di Forrest City pula bakal melibatkan sektor perkhidmatan logistik, pusat perkhidmatan global dan perkhidmatan pemindahan ditawarkan di kawasan daratan.
“Sektor satu menyediakan kemudahan perbankan dan memenuhi keperluan perniagaan serta komuniti komersial seperti pelaburan, insurans dan penggunaan Financial Technology (FinTech), Regulation Technology (RegTech) juga Insurance Technology (Insurtech) untuk Perbankan Konvensional dan Islam serta Pejabat Keluarga (Family Office) yang pertama di Malaysia.
“Family Office juga menawarkan kadar cukai istimewa dan memiliki potensi besar menarik Family Office seperti Singapura dan Hong Kong kerana ciri-ciri sama yang ditawarkan.
"Kehadiran 'Family Office' akan mencipta pekerjaan dalam sektor kewangan, guaman, hartanah, perancangan harta pusaka dan perkhidmatan sokongan lain hingga rakyat tempatan mendapat peluang untuk bekerja sebagai penasihat kewangan, akauntan, atau pengurus pelaburan,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Selasa.
Untuk rekod, kedua-dua sektor ini juga akan disokong melalui penyediaan perkhidmatan sokongan atau 'Mid-Office Support Services' dan 'Back-Office Support Services' seperti sokongan pelanggan dan pembangunan produk; sokongan teknologi dan IT; pemasaran; kewangan dan perakaunan; sumber manusia dan bakat serta undang-undang dan peraturan.
Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dan Chiong Sen Sern (Bukit Batu) berhubung status dan perkembangan zon kewangan khas di Forest City setakat ini.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan menyokong penuh pelaksanaan zon kewangan khas ini kerana ia bakal memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi Johor tetapi juga manfaat buat rakyat melalui peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Secara keseluruhannya, terdapat sembilan insentif bagi Pulau Satu manakala dua lagi adalah bagi kawasan daratan yang mempunyai insentif tertentu dengan menyasarkan sektor-sektor tertentu dengan beberapa institusi kewangan tempatan dan antarabangsa serta pemain industri logistik telah menunjukkan minat untuk melabur.
"Antara institusi kewangan termasuklah Maybank, Public Bank Berhad, AmBank Group, Hong Leong Bank, CIMB, Bank of China, United Overseas Bank (UOB), manakala industri logistik terdiri daripada Tiong Nam Logistics Holdings Berhad,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!