Tun M sedia jadi 'mentor' cara jadi PM
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia menjadi 'mentor' kepada mana-mana individu yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.
Negarawan itu yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali berkata, pejabatnya sentiasa terbuka bagi yang berhasrat berbuat demikian.
"Saya ada Yayasan Kepimpinan Perdana. Kalau awak mahu menjadi pemimpin, datang ke yayasan saya.
"Saya akan ajar awak bagaimana untuk menjadi PM," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Buku Idealis: Syed Hamid Albar di sini pada Rabu.
Tambah Dr Mahathir, keadaan politik sekarang jauh berbeza berbanding dahulu yang baginya lebih mudah.
"Kita tak perlu memberi inspirasi untuk jadi PM. Tiada persoalan tentang siapa yang patut jadi PM pada masa dulu.
"Tapi sekarang, mereka bentuk parti untuk jadi PM. Jadi, saya cadangkan lantik bukan seorang tapi beberapa orang. Semua orang boleh gembira kerana dapat jadi PM," katanya.
Sementara, ketika ditanya tentang gred D yang diberikan Bersih terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan, beliau secara sinis menyatakan tidak tahu akan kewujudannya.
"Saya tak tahu ada Kerajaan Perpaduan. Orang lain, saya tak tahu.
"Sekarang, semua berpecah, bukan bersatu padu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!