Pelaburan Hyundai Motor bukti tiada komplot gagalkan pelaburan swasta di Kedah
ALOR SETAR - Keputusan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa masuk pelaburan Hyundai Motor untuk bertapak di Kedah membuktikan tiada plot dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong berkata, Perdana Menteri memaklumkan beliau membawa masuk syarikat permotoran gergasi Korea Selatan untuk membantu negeri tersebut.
Beliau berkata, Anwar melakukan tugas beliau sebagai ejen Kedah dan tiada sabotaj dilakukan mana-mana pihak terhadap kerajaan negeri.
"Jadi, tiada isu (plot) tentang dakwaan (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor) itu.
"Jikalau, ada (usaha sabotaj), bukti yang disimpan dalam hati (Menteri Besar Kedah) itu kena maklumkan kepada orang,"katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Swee Leong berpandangan, Muhammad Sanusi tidak boleh menyimpan perkara terbabit, sebaliknya perlu terus mendedahkan kepada umum tentang butiran tersebut.
Sementara itu, ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai berkata, terdapat banyak pelaburan masuk ke Kedah dan Kulim Hi-Tech telah di-kategori sebagai satu hab untuk pelaburan industri di bawah Belanjawan 2024.
Beliau berkata, terbaru, pelaburan diperolehi dari Korea Selatan, sekaligus membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
Ketua Pembangkang DUN Kedah yang juga ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek berpandangan, Muhammad Sanusi perlu membuat pendedahan sekiranya dakwaannya adalah benar.
"Jikalau dakwaan itu betul,maka beliau perlu beritahu bersama dengan bukti-bukti," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan semua ADUN Kedah supaya lebih berhati-hati dan bercakap dengan merujuk kepada fakta ketika berbahas pada Sidang DUN Kedah.
Bau Wong berkata, ia berikutan ada ADUN Kedah dikhuatiri telah memetik info yang salah berkaitan Malaysia merupakan negara terpaling korup di dunia untuk menjalankan perniagaan.
Jelas Bau Wong, artikel sebenar dikeluarkan dari Wall Street Journal pada 11 Disember 2012 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum disunting tarikh kepada 19 November 2024 dan sebagainya.
Menurut beliau, artikel terbaharu terbabit bukan hanya tidak tepat, malah tidak munasabah dan sekadar auta semata-mata yang dimuat naik seorang pengguna Facebook.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua ADUN Kedah dinasihatkan mendapatkan info yang tepat dan sahih terlebih dahulu sebelum berbahas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!