Bank Rakyat, UiTM kukuh kerjasama inisiatif kebajikan, umrah dan korban
BANK Rakyat dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh hubungan strategik melalui Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif kebajikan, umrah serta ibadah korban.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi dan Menanggung Tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan, Nor Haimee Zakaria berkata, menerusi program tersebut mereka akan melaksanakan Projek Tajaan Wang Saku Mahasiswa UiTM.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban pelajar asnaf dan memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan pengajian dengan selesa serta fokus.
“Projek Tajaan Wang Saku Mahasiswa UiTM akan dilaksanakan yang mana sumbangan sebanyak RM255,000 akan disalurkan kepada 850 pelajar asnaf dari 34 kampus UiTM di seluruh negara.
“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang berlandaskan prinsip keprihatinan dan tanggungjawab sosial, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memberi impak positif kepada masyarakat, terutamanya kepada golongan sasar.
“Pendidikan adalah asas untuk membina masa depan yang lebih baik dan Bank Rakyat bersama seluruh cawangan di Malaysia terus bekerjasama dengan UiTM dan 34 kampusnya di seluruh negara bagi memastikan bantuan serta sokongan dapat disalurkan secara efektif kepada pelajar yang benar-benar memerlukan demi menjayakan usaha murni ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, menurut Nor Haimee, kerjasama itu adalah kesinambungan hubungan erat antara Bank Rakyat dan Bahagian Hal Ehwal Islam Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM sejak 2021.
Tambah beliau, menerusi perjanjian yang dimeterai, program korban turut dilaksanakan dengan tujuan memberi peluang kepada peserta untuk menunaikan ibadah korban sambil bersedekah.
“Sebahagian daging korban diproses menjadi makanan retort dan diagihkan kepada mahasiswa memerlukan dengan kerjasama Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM dan Bank Rakyat Cawangan Vista Alam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!