Johor peruntuk RM2.8 juta untuk Program Semarak Subuh

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menambah peruntukan berjumlah RM2.8 juta untuk Program Semarak Subuh dalam usaha menyemarakkan dan memperkasakan lagi syiar Islam di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, program itu akan dilaksana selama dua minggu sekali berbanding seminggu sekali seperti sekarang.

“Pertambahan ini menjadikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memperoleh sebanyak RM50,000.

“Dari jumlah RM10,000 ditambah kepada RM25,000 dan tahun hadapan akan bertambah lagi menjadi RM50,000.

“Ini turut melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak RM1.4 juta menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang diperoleh untuk Program Semarak Subuh adalah RM2.8 juta,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Mohd Fared berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib mengenai perancangan kerajaan negeri meneruskan Program Semarak Subuh di Johor pada tahun depan yang mendapat sambutan baik masyarakat sebelum ini.

Tambah Mohd Fared, seramai 320,638 jemaah telah menyertai Program Semarak Subuh melibatkan 2,287 masjid dan 2,734 surau di seluruh negeri.

Katanya, jumlah itu melibatkan lebih 80 peratus jumlah masjid dan surau di Johor yang telah berjaya disantuni menerusi program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan sambutan yang amat baik dari masyarakat, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bertekad untuk memperluaskan lagi penglibatan masyarakat dalam setiap aspek program mulai 2025 termasuk mempertingkatkan pengisian dengan tazkirah, menganjurkan forum agama serta mengadakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan golongan muda, wanita dan warga emas.

“Tujuan utama program Semarak Subuh ini bukan sahaja berjaya meningkatkan amalan ibadah tetapi juga berfungsi sebagai platform bagi memperkasakan pembangunan sosial masyarakat secara menyeluruh.

“Secara tidak langsung ia akan mengembalikan masjid kepada fungsi asalnya sebagai one stop centre yang berperanan menjadi pusat ilmu, dakwah dan tempat untuk bertukar tukar pandangan serta memperkuat ukhuwah yang sekali gus menjadikan Johor sebagai contoh negeri yang mengutamakan nilai-nilai keagamaan dan keharmonian masyarakat dalam kehidupan seharian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!