Elak rakam video, gambar ketika bertawaf dan sai

ELAKKAN diri daripada merakam gambar atau video ketika melakukan tawaf dan sai. - Foto: CANVA
ELAKKAN diri daripada merakam gambar atau video ketika melakukan tawaf dan sai. - Foto: CANVA
A
A
A

SEGELINTIR orang memang gemar merakam video dan gambar untuk diabadikan sebagai kenangan termasuklah ketika sedang menunaikan ibadah umrah atau haji di Tanah Suci.

Malah, ada yang membuat rakaman itu ketika sedang melaksanakan ibadah tawaf dan sai.

Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun mengingatkan agar kita mengelakkan diri daripada berbuat demikian.

USTAZAH ASMA'
USTAZAH ASMA'

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barang siapa berkata tatkala tawaf, hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Jadi jika mahu abadikan kenangan, tunggu selesai tawaf atau sai. Lakukan dengan beradab dan berpada.

“Paling penting, utamakan khusyuk dalam beribadah, bukan memikirkan content (kandungan). Begitu juga dengan rukun haji dan umrah yang lain,” tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Penceramah itu kemudian menukilkan pandangan yang pernah disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Memetik pendapat pejabat mufti itu, ujar Ustazah Asma’, meskipun perbuatan tawaf dilakukan sambil bersiaran langsung menerusi Facebook atau Instagram dibolehkan, tetapi alangkah baiknya jika perilaku tersebut ditinggalkan.

Malah, makruh hukumnya berbuat demikian dan ia perlu dielakkan kerana akan mengganggu tumpuan kita yang sepatutnya melakukan ibadah itu dengan penuh khusyuk lagi fokus.

Bukan itu sahaja, katanya, tawaf dan sai termasuk dalam ibadah yang sepatutnya diberikan tumpuan sebagaimana ibadah lain seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan tawajjuh (penumpuan) hati kepada ALLAH SWT.

“Imam At-Tirmizi dalam Sunan At-Tirmizi menyatakan bahawa ‘Dan yang beramal atas perkara ini di sisi kebanyakan ulama’. Justeru mereka berpendapat, sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau zikir kepada ALLAH SWT atau kerana ilmu.

ELAKKAN merakam gambar atau video ketika bertawaf dan sai kerana akan mengganggu tumpuan kita yang sepatutnya melakukan ibadah itu dengan penuh khusyuk lagi fokus. -Foto: CANVA
ELAKKAN merakam gambar atau video ketika bertawaf dan sai kerana akan mengganggu tumpuan kita yang sepatutnya melakukan ibadah itu dengan penuh khusyuk lagi fokus. -Foto: CANVA

“Perlakuan badan yang menjaga tatasusila dan adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa kehambaan dan tawaduk kepada ALLAH hendaklah diwujudkan ketika tawaf dan sai.

“Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi diri terutamanya ketika beribadah kepada ALLAH SWT seperti (ibadah) tawaf dan sai ini,” coretnya yang memetik pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dari satu segi, Ustazah Asma’ menjelaskan, perbuatan merakam video atau gambar ketika mengerjakan tawaf dan sai akan mengganggu perjalanan ibadah jemaah lain yang sedang melaksanakannya.

“Bahkan, di sana juga terdapat teguran daripada para ulama besar tentang perbuatan swafoto semasa mengerjakan haji dan umrah yang mana ia dapat menghilangkan tumpuan serta tujuan asal jemaah untuk beribadah di tanah haram,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!