'Saya bukan dalang, tapi hero' - Shahidan
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menegaskan, beliau tidak perlu dilabel 'dalang', sebaliknya sebagai 'hero' yang berjuang mengajak Barisan Nasional (BN) menyertai Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Bahkan beliau berkata, pelawaan tersebut bukan lagi rahsia kerana ia pernah dibuat secara terbuka sama ada menerusi pentas ceramah.
"Tentang PN nak suruh (BN) keluar kerajaan... itu secara terbuka, nak sembunyikan apa? Semua orang sebut.
"Ucapan nak (ajak) UMNO join kami itu tak berhenti kami cakap, atas semangat bumiputera Melayu dan Islam kita bersatu.
"Kita (ajak) bersatu bukan nak bergaduh dengan orang, kita bersatu nak kuat. Kalau nak jumpa seseorang, saya akan isytiharkan akan berjumpa sesiapa.
"Kalau ada orang tuduh saya dalang, saya nak beritahu siapa dia dalang yang besar. Saya akan dedahkan satu persatu siapa dalang," katanya dalam sidang media bersama ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Parlimen di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab mengenai desas-desus mengatakan dirinya merupakan salah seorang yang menjadi 'dalang' susulan pendedahan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara tersebut.
Ditanya adakah wujud pertemuan antara beliau bersama Ahmad Zahid secara bersemuka, Shahidan bagaimanapun menafikannya.
"Jumpa di mana? jumpa tiap-tiap hari, selisih setiap hari. Tapi saya akan semaklah sebab perkataan dalang itu salah satu musibah politik yang harus diperbetulkan.
"Yang dalang adalah orang itu... saya rakyat Malaysia, kita akan berjuang sampai bila-bila bahawa perbuatan untuk memecahbelahkan bumiputera dan juga Melayu itu adalah terkutuk.
"Kalau ada orang Melayu atau bumiputera kerjasama untuk tujuan tersebut, itu terkutuk, itulah dalang," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, tuduhan bahawa Shahidan menjadi 'dalang' adalah tidak berasas.
"Kalau dikatakan bahawa Arau sebagai dalang untuk menarik ahli-ahli Parlimen tertentu menarik balik sokongan kepada kerajaan, itu tak betul.
"Apa yang kita ada untuk tawarkan? Kita sebagai pembangkang tiada peruntukan. Kita nak tawarkan apa kepada mereka?
"Kecuali mereka secara sukarela untuk berbuat demikian. Jadi tuduhan itu sangat tidak berasas. Kalau ada yang datang tu bukan kerana kita, tapi kerana mereka sendiri ada bangkit kesedaran dalam diri mereka sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!