KSN buat lawatan mengejut di PDT Klang
SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan lawatan mengejut di Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDT) pada Rabu.
Beliau berkata, tujuan lawatan itu diadakan bagi menambah baik perkhidmatan peringkat daerah supaya lebih cekap, telus dan berintegriti.
"Dulu saya pernah berkhidmat di sini (PDT Klang). Insya-ALLAH hal-hal mengenai tanah, pembangunan rakyat, urusan bencana semuanya itu memang minat sayalah," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau pada Rabu.
Beliau memberitahu, sesuatu pembaharuan dan penambahbaikan yang ingin dilaksanakan tidak hanya dibuat di peringkat Persekutuan semata-mata.
"Pelaksanaan ini mesti mengakar dari peringkat pentadbiran daerah lagi selaras dengan Deklarasi Kuala Lumpur yang telah ditandatangani oleh saya dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri pada 23 November lalu," tambah beliau.
Lawatan mengejut ini bukanlah kali pertama beliau lakukan, sebaliknya pada 2 September lalu, beliau juga pernah mengadakan lawatan ke ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!