Binaan tangki air tertimbus runtuhan tanah
PASIR MAS - Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila binaan tangki air di kawasan rumah tertimbus akibat runtuhan tanah susulan hujan lebat di Lemal di sini pada Rabu.
Kejadian tersebut disedari pada jam 6 pagi semasa penghuni, Ab Aziz Che Seman, 64, pulang dari menunaikan solat subuh di masjid dan mendapati berlaku runtuhan tanah sepanjang 60 dan 30 meter ke bawah.
"Saya terkejut melihat binaan tangki air telah tertimbus ke bawah, manakala garaj kereta menunggu masa untuk runtuh.
"Ia dipercayai disebabkan hakisan kerana rumah kami berhampiran dengan Sungai Kelantan ditambah hujan lebat," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak terlibat telah hadir ke lokasi kejadian dan meminta dia sekeluarga berpindah segera.
Ujarnya, buat masa ini mereka memilih untuk terus berada di rumah tersebut dan berdoa agar kejadian tanah runtuh tidak terus merebak ke kawasan rumah.
Ab Aziz memberitahu, mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju buat sementara waktu ini dan hanya mempunyai rumah itu sahaja.
"Hakisan di kawasan rumah ini telah berlaku sejak tiga tahun lalu namun hari ini paling teruk kerana menyebabkan tanah runtuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!